iklan

Thursday, January 10, 2019

Perkampungan Seni Lukis manfaatkan karyawan

Sastera dan Budaya, RABU, 29 OKT 1997

SITI ZAINON... medan ilmu seni
Oleh Salbiah Ani


NAMPAKNYA kerajaan semakin menunjukkan kesungguhan untuk membantu masyarakat pelukis negara ini mendapat tempat yang lebih bermakna, peningkatan ekonomi dan apresiasi terhadap karya seni berkenaan.

Terbaru usaha ke arah membantu kelompok berkenaan ialah dengan pembentukan Perkampungan Seni Lukis di Kompleks Budaya Kraf Kuala Lumpur yang turut menjadi kunjungan pelancong.

Perkampungan berharga RM306,000 itu menempatkan sembilan galeri setiap satu bernilai RM50,000 dan 18 pelukis tempatan turut dilantik sebagai pelukis residen.

Selari dengan pembentukan perkampungan terbabit Tabung Amanah Perkampungan Pelukis turut dibentuk bagi melengkapkan lagi prasarana dan menggerakkan kegiatan yang diatur untuk perkampungan terbabit.

Sehubungan pembentukan perkampungan terbabit, Sastera dan Budaya mendapatkan pandangan dua pelukis profesional yang juga tenaga akademik berwibawa di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan mengenai perkara itu.

Pengarah Unit Kebudayaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Siti Zainon Ismail, menyarankan pemilihan pelukis bagi perkampungan berkenaan dipelbagaikan.

“Seandainya tumpuan hanya diberikan kepada pelukis cat air saja, tentu tidak adil kerana di kalangan pelukis sendiri ada beberapa kelompok seperti naturalis, surealis, ekspresionis dan dekoratif.

“Bagaimana pula dengan kelompok pengarca, pengukir dan pembatik kerana mereka juga adalah penggiat seni tampak yang tidak wajar diketepikan kerana sama-sama memberi sumbangan kepada persada seni tanah air,” katanya.

Saranannya bukan saja bertujuan melindungi kepentingan penggiat seni berkenaan tetapi juga bagi memenuhi citarasa pengumpul karya seni tampak yang turut berbagai-bagai.

Dr Siti Zainon berharap Perkampungan Seni Lukis itu bukan saja menjadi pusat berkarya tetapi juga medan perkembangan ilmu seni secara keseluruhan selain turut dimanfaatkan untuk dialog.

“Perkampungan berkenaan boleh dijadikan sebagai wadah untuk meningkatkan apresiasi seni lukis tanah air selain sekolah seni lukis yang berlangsung dalam bentuk natural,” katanya.

Tokoh pelukis tanah air seperti Latiff Mohidin dan Ibrahim Hussein umpamanya wajar dijemput untuk berwacana mengenai seni di perkampungan terbabit agar dapat dimanfaatkan oleh generasi muda seni lukis tanah air.

Menurutnya, perkampungan terbabit turut wajar mempamerkan karya terbaru kedua-dua tokoh seni lukis tanah air itu kerana hasil kerja mereka kini menjadi eksklusif sehingga tidak mungkin ditemui sekalipun di Balai Seni Lukis Negara.

“Saya berharap Perkampungan Seni Lukis mempunyai kurator seninya sendiri yang bertanggungjawab mengatur kegiatan seni agar berterusan dan memberi manfaat kepada masyarakat pelukis dan khalayaknya sekali,” katanya.

Malahan, pemilihan residen artis untuk perkampungan berkenaan juga sewajarnya dihadkan untuk tempoh tertentu agar lebih ramai pelukis turut dapat menikmati kemudahan prasarana yang dibentuk itu.

Pensyarah Kanan Seni Halus di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Institut Teknologi Mara (ITM), Awang Damit Ahmad, pula berpendapat pembentukan perkampungan terbabit mampu meningkatkan apresiasi terhadap karya seni lukis.

“Ramai pelukis yang memerlukan tempat sedemikian untuk membolehkan mereka mengembangkan bakat dan mendekatkan masyarakat dengan karya seni lukis tanah air,” katanya.

Peruntukan galeri seni lukis sebagaimana yang diamalkan di Pasar Seni, katanya, tidak banyak membantu pelukis tanah air kerana ia lebih bersifat komersil daripada mengangkat martabat seni lukis.

“Dengan adanya studio terbuka melalui penyediaan sembilan galeri diperkampungan itu akan dapat memberi pendedahan bermakna kepada pelukis yang terbabit dalam program berkenaan,” katanya.

Awang Damit yakin galeri yang diperuntukkan kepada pelukis sepenuh masa saja bertujuan memastikan kegiatan seni lukis berterusan kerana sasaran Kompleks Budaya Kraf Kuala Lumpur adalah pelancong.

Beliau mencadangkan jumlah galeri di perkampungan itu dipertingkatkan pada masa depan sebagaimana di Torpedo Art Centre di Washington, Amerika Syarikat, yang menempatkan lebih 100 galeri.

“Lebih banyak galeri lebih baik kerana ia akan menimbulkan persaingan di kalangan penggiat seni lukis yang tentunya mahu tidak mahu berusaha meningkatkan mutu karya masing-masing,” katanya.

Menurutnya, pelukis tidak wajar takut kepada persaingan terbuka seperti itu kerana penggemar dan pengumpul lukisan turut mempunyai kecenderungan dan citarasa yang berlainan.



No comments:

Post a Comment