iklan

Monday, December 31, 2018

Timur jadi pusat seni

MOHD ALI
... paling ke Timur
SERIUS... sebahagian peserta forum sempena
pameran di Galeri Petronas, baru-baru ini.
Oleh Jamudin Idris

PANDANGAN dunia kepada rantau sebelah timur tidak saja terbatas kepada bidang industri tetapi juga kesenian. Timur kini dikatakan pusat segala-galanya dan dianggap menjadi inspirasi dalam penghasilan karya kreatif, khususnya bidang seni lukis.

Lantas itu, ada yang berpendapat, anjakan paradigma dalam bidang seni sudah beralih ke sebelah timur. Sebenarnya banyak sebab yang menjadi punca rantau sebelah Timur kini menjadi gedung kesenian, salah satunya kerana sejumlah lukisan ternama sudah tersimpan di Jepun.

Kesanggupan jutawan Jepun menghabiskan wang berjuta ringgit semata-mata untuk memiliki lukisan pelukis ternama Barat adalah di luar dugaan. Apakah tindakan Jepun itu betul atau tidak adalah persoalan lain. Tetapi yang nyata dengan memindahkan lukisan ke Timur, sudah tentu Jepun akan menjadi tumpuan peminat seni dari seluruh dunia untuk melihat karya agung.

Pensyarah Kanan dan Ahli Sejarah Seni dari Jabatan Liberal Institut Teknologi Mara (ITM), Mohd Ali Abdul Rahman berkata, melalui tindakan itu, orang ramai yang ingin melihat lukisan antik yang dihasilkan pelukis terkenal dunia tidak lagi perlu ke Barat tetapi memadai ke Jepun saja.

Ketika bercakap dalam forum yang dikelolakan bersempena pameran seni bertajuk Milik Kendiri - Tradisi dan Perubahan oleh kakitangan akademik dan pelajar dari Jabatan Seni Lukis dan Seni Reka, ITM Shah Alam, di Galeri Petronas, Sabtu lalu, beliau berkata langkah Jepun itu menjadi salah satu sebab Timur menjadi ‘kiblat’ dalam bidang kesenian.

Satu hal lagi, banyak karya yang menjadi keagungan dunia turut mengambil ilham dari sebelah Timur atau Afrika. Objek dari negara berkenaan menjadi ilham dan diterjemahkan dalam karya dan bukannya bangunan tinggi pencakar langit.

Mohd Ali berkata, disebabkan Barat sendiri nampaknya sudah berpaling ke Timur, adalah tidak praktikal pelukis negara ini masih mengagungkan atau berkiblat ke Barat.

Sepatutnya pelukis negara ini yang berkesempatan mendalami ilmu di luar negara menghasilkan karya seni yang bermotifkan tempatan kerana ia bukan saja menarik perhatian Barat, tetapi untuk membuktikan kita masih kaya dengan tradisi.

Jika sesetengah orang kulit hitam di Amerika Syarikat masih mengagungkan datuk nenek mereka melalui Kunta Kinte, kita juga sepatutnya tidak melupakan sejarah dan bangsa dengan kesenian tradisi.

Dekan Kajian Seni Lukis dan Seni Reka, Dr Muhamad Tamyez Bajuri pula berkata, penghayatan seseorang pada seni adalah berbeza dan kerana itu sesetengah galeri membuat peraturan sendiri.

Sebagai contoh ada galeri ternama membuat jarak untuk seseorang melihat sesebuah lukisan dengan cara itu penghayatan dikatakan lebih terkesan.

Bagaimanapun bagi hasil seni yang baik, ada semacam ketidakpuashatian jika seseorang tidak dapat menyentuh atau melihat dengan lebih dekat.

Sementara itu, sambutan orang ramai begitu baik sekali bagi pameran Milik Kendiri yang kali kelima diadakan dan berakhir Selasa lalu.

Pameran itu menonjolkan karya bertenaga serta dinamik yang dipamerkan adalah hasil daripada sifat naluri dan gerak kemurnian hati yang terdapat pada pelukis dan pereka.

Pembabitan pelukis dan pereka ini juga adalah kakitangan Kajian Seni Lukis dan Seni Reka ITM, di dalam pameran kali ini banyak mempersoalkan perubahan dan penerokaan dalam aspek kehidupan yang membincangkan persoalan kewujudan manusia, masalah persekitaran, etnik dan jati diri.

BSLN rancang 17 pameran


BALAI Seni Lukis Negara (BSLN) dan Pusat Kreatifnya merancang mengadakan 17 pameran lagi tahun ini yang membabitkan pertubuhan dan orang perseorangan termasuk luar negara, bagi memberi peluang tokoh tertentu mempamerkan karya mereka.

Selepas pameran perseorangan tokoh seni lukis negara, Yeoh Jin Leng yang berakhir pada 28 Februari ini, pameran lukisan, etching dan fotograpi oleh Wols Jerman dengan bahannya dipinjamkan dari Institut Goethe pula diadakan.

Selepas itu BSLN akan mengadakan pameran Seni Arca Malaysia mulai 2 April hingga 8 Mei. Kuratornya ialah Dekan Kajian Seni Lukis dan Seni Reka, Institut Teknologi Mara (ITM), Dr Mohd Tamyez Bajuri dan diikuti pameran Fotografi Sebagai Seni yang akan diadakan dari Mei hingga Jun. Kuratornya ialah Ismail Hashim.

Pada pertengahan Jun hingga 17 Julai, kumpulan syarikat Philip Morris akan menganjurkan Pertandingan Melukis Asean dan diikuti pameran Kosmologi dan Seni.

Pada akhir Ogos hingga 27 September, pameran Festival Antarabangsa Seni Lukis Kuala Lumpur akan diadakan dan diikuti Pameran Kerjasama Seramik Malaysia–Norway.

Bagi memberi pendedahan kepada pelukis tempatan, pameran selama sebulan retrospektif Sir Edardo Paolozzi dari United Kingdom turut diadakan dan bahan pameran dipinjamkan dari British Council. Tirai kegiatan seni lukis BSLN berakhir dengan Pertandingan Pelukis Muda Kontemporari, dari 10 Disember hingga 10 Januari 1997.

Bagi Pusat Kreatif pula, selepas pameran perseorangan, Bayu Otomo berakhir 23 Januari lalu, mereka akan memberi ruang kepada pelajar ITM mengadakan pameran mulai 20 Februari hingga 11 Mac.

Selepas itu, Tang Mun Kit dari Singapura akan mengadakan pameran solo dan diikuti ahli fotografi, Eric Peris akan mengadakan pameran mulai 8 hingga 20 April.

Pada April pula diadakan pameran fotografi Swiss Hightlight dan bahannya dipinjamkan dari Kedutaan Switzerland, diikuti pameran kumpulan kerja mencetak dan persembahan seni.

Selepas itu sekumpulan pelajar akan mengadakan persembahan dan penutup pameran solo dari pelukis dari Indonesia, Sonyuwono.

Yeoh Jin Leng 40 tahun berkarya

TERIMA KASIH... Yeoh (kanan) menghadiahkan Zain hasil karyanya
selepas merasmikan pameran di Balai Seni Lukis Negara, Jumaat lalu.

MENJENGUK pameran pelukis ternama negara Yeoh Jin Leng, teringat akan Seniman Negara, Syed Ahmad Jamal. Ada sinonim nama Yeoh dan Syed Ahmad - bukan setakat mereka sama-sama menuntut di Kolej Seni Chelsea, London, tetapi stail yang sama terbawa-bawa dalam lukisan mereka.


Lukisan kedua tokoh itu banyak yang terang. Walaupun warna lukisan mereka berbeza dari satu masa ke satu masa, dan bergantung kepada isu yang disentuh, tetapi pengalaman berkarya selama 40 tahun itu, jelas kelihatan empat peringkat dalam hasil seni Yeoh.

Tahap pertama karya Yeoh ialah sebelum beliau ke Chelsea, ketika menuntut di luar negara, sekembalinya dari luar negara dan terakhir pada zaman kemantapannya apabila banyak dipilih menjadi pentadbir, pengurus dan kurator kepada pelukis dan seniman muda.

Melihat kira-kira 400 lukisan dan hasil kerja seninya di pameran retrospektif yang bertajuk Yeoh Jin Leng: Seni dan Penghayatan, di Balai Seni Lukis Negara (BSLN) bermula 13 Januari hingga 28 Februari yang dirasmikan Tan Sri Zain Azraai, petang Jumaat lalu, jelas memperakukan ketokohan Yeoh, seorang seniman yang serba boleh.

Disebabkan Yeoh seniman besar negara, rakan yang menyaksikan pamerannya itu bukan saja datang dari sekitar Kuala Lumpur, tetapi dari Tokyo dan Singapura. Kira-kira separuh lukisan dan hasil kerja seninya masih dalam koleksinya.

Di awal pembabitan dan ketika menuntut Chelsea, Yeoh tidak terlepas daripada lukisan lucah, wanita bogel. Bagaimanapun bagi seniman terutama di luar negara, hal ini tidak dapat dikesampingkan kerana tubuh manusia dianggap satu objek atau figura yang tinggi hasil seninya.

Sekembalinya dari luar negara dan dalam mengenali semula alam semesta tanah air, beliau menemui istilah visual yang baru. Kaedah penggambarannya kelihatan jelas dan tepat. Dan dalam perjalanan panjang bermula dari Alor Star terhasillah catan lanskap, yang tersohor bernama Sawah Padi (1963), dianggap cukup bertenaga pada waktu itu.

Yeoh sendiri mengakui perlunya dinilai semula cara beliau meneliti alam semesta, berpandukan fahaman estetik yang dipelajarinya di Chelsea. Segalanya perlu disemak dan dinilai semula memandangkan wujudnya fenomena baru yang dilalui kini berbeza dari segi optik dan perasaan.

Sebagai pendidik, seniman ternama ini tidak dapat lari daripada aspek pengajarannya. Ada lukisannya menggunakan lambang yang bulat-bulat dan jelas melihat kemantapan dan inteleknya. Lambang mengenai Matematik dan Sains, mungkin membayangkan mata pelajaran itu juga patut ditekankan, selain tidak dikesampingkan pendidikan seni.

Sebagai senimnan yang suka berjalan, pengalaman yang dilalui sama ada di Sarawak, atau ketika meneroka hutan Belum di Perak dan penghasilan daripada kayu tropika turut diterjemahkan dalam hasil kerja seninya.

Disebabkan itu, adalah tidak salah jika Zain Azraai sendiri mengakui pameran yang diberikan kepada Yeoh Jin Leng agak terlewat, kerana sumbangan Yeoh dalam bidang seni negara begitu besar tetapi tokoh ini adalah seorang seniman sederhana yang tidak suka menonjolkan diri – JAMUDIN IDRIS

Pameran lukisan kaca di restoran

CANTIK... beberapa lukisan kaca karya Sulasno menghiasi dinding Kedai Kancil.

Catatan dari Jakarta Oleh Mahfar Ali


KEDAI Kancil di Wisma Summitmas, Jalan Jenderal Sudirman, Jakarta, dibuka seperti biasa pada bulan puasa ini. Tetapi baru-baru ini, saya ke sana kira-kira jam 1 tengah hari, bukan untuk makan, sebaliknya menyaksikan pameran lukisan kaca karya Sulasno yang berakhir 30 Januari lalu.

Kenyataan ini mungkin agak aneh, kerana jarang pameran lukisan diadakan di kedai makan atau restoran. Biasanya pameran seumpama itu dibuat di galeri, balai seni dan dewan kesenian atau paling tidak di hotel mewah dan pusat beli-belah terkemuka.

Tempat itu selalunya menjadi pilihan pelukis kerana ruangnya bukan saja luas, malah suasananya juga tenang dan mempunyai kelas. Apatah lagi pengunjung ke pameran lukisan biasanya dikaitkan dengan orang berduit kerana harga satu-satu lukisan itu bukannya murah.

Jadi, apakah istimewanya Kedai Kancil? Tidak ada yang istimewa dengan kedai yang terletak agak tersorok, berhampiran tempat letak kereta Wisma Summitmas.

Keadaan kedai itu seperti kebanyakan restoran sederhana lain di sekitar ibu kota ini – dipenuhi puluhan meja dan kerusi, serta suara kesibukan pekerjanya.

Tetamu di restoran itu hanya pekerja biasa atau orang ramai yang mempunyai urusan di wisma berkenaan, menempatkan pelbagai agensi swasta, termasuk bank.

Begitu juga dengan penyelenggaraan pameran itu. Tidak ada sentuhan artistik atau hiasan khusus. Lukisan itu cuma digantung di dinding kedai berkenaan bersama menu makanan serta pelbagai poster seminar, pertunjukan dan konsert.

Sayangnya, saya tidak berkesempatan menemui Sulasno untuk menanyakan sendiri mengapa pameran itu diadakan di kedai berkenaan, dan tidak di tempat yang lebih berprestij, sesuai dengan keunikan lukisan kaca karyanya.

Menurut seorang pelayan di kedai berkenaan, Sulasno jarang ke situ tetapi pengunjung yang berminat membeli lukisannya boleh berbuat demikian di kaunter.

Pelayan itu bertanya saya: “Mau pesan makanan apa Pak? Sop buntut, soto pun ada.”

Panorama inilah barangkali yang dikehendaki Sulasno - pelukis kaca dari Yogjakarta. Sambil menikmati sop buntut (ekor) atau soto, setidak-tidaknya tetamu di kedai makan itu, akan turut memalingkan muka ke dinding dan menghayati 25 karya lukisannya.

Apa yang menarik, seperti penyelenggaraan pameran itu yang serba ringkas, lukisan Sulasno yang bertemakan cerita rakyat, seperti legenda Ajisaka (terciptanya huruf Jawa), legenda Sekh Domba dan Sunan Bayat, Jaka Tarub, kisah Nabi Sulaiman, Pangeran Diponegoro dan Perahu Nabi Nuh.

Lukisan itu tidak perlu dilihat dengan pengertian khusus atau dengan bahasa artistik. Begitu juga dengan lukisan lainnya yang memotretkan jenis kesenian tradisional, seperti Tayub, Sintren, Majemukan, Angguk dan Jatilan, tidak sukar untuk dihayati.

Berbeza dengan seni lukis biasa, lukisan kaca meletakkan cat di bahagian belakang bidang kaca yang kita lihat. Teknik melukis seperti ini dikatakan agak sulit dan memerlukan kesabaran.

Mungkin inilah yang hendak disampaikan Sulasno menerusi pamerannya. Ketika ramai yang tidak bertahan lama dalam seni lukisan kaca ini, Sulasno terus sabar menggeluti bidang itu dan menjadikan pamerannya kesinambungan seni lukis kaca.

Yang pentingnya, menerusi pameran itu juga Sulasno sekurang-kurangnya berjaya mengubah anggapan kebanyakan orang yang sering mengaitkan lukisan dengan simbol kemewahan.

Melukis beri ketenangan jiwa

MENCARI KETENANGAN... melukis bagi Mahbob selain
dapat memberikan ketenangan ia juga boleh
membawa pelukis ke alam imaginasi
yang tersendiri.
INI HASILNYA... Mahbob bersama hasil lukisan potret
yang telah disiapkannya.

Oleh HASAN OMAR
Gambar: DZULKIFLI MUSTAPHA


SENI pada diri setiap insan adalah anugerah daripada Allah. Seni juga adalah sesuatu yang sukar untuk diterjemahkan melalui kata-kata dan apa yang mampu menggambarkan ketinggian nilai seni dalam jiwa seseorang adalah melalui karya yang dihasilkan.


Seni itulah yang sering dijanakan oleh seseorang itu melalui hobinya yang hadir pada waktu-waktu terluang. Melukis misalnya, adalah salah satu hobi yang diminati ramai, tetapi tidak mampu dihasilkan semua orang.


Ini kerana ia wujud daripada bakat semula jadi serta memerlukan pengetahuan aspek teknik yang mampu meninggikan lagi kualiti sesuatu hasil lukisan sama ada menggunakan cat minyak, air, krayon serta pensil.

Melukis ketika masa lapang juga mampu memberi ketenangan jiwa dan ia menjadi lebih bermakna lagi jika hasil lukisan itu mampu dikategorikan sebagai yang bermutu tinggi.

Bagi Mahbob Mohamad, 45, melukis potret menggunakan pastel, sejenis bahan pewarna yang diperbuat daripada sejenis galian, adalah hobinya sejak kecil lagi.

Beliau yang mempunyai bakat semula jadi dalam bidang berkenaan mula melukis secara aktif pada sekitar 1970-an dan mendekatkan diri dengan pelukis profesional iaitu Amiruddin Ariffin bagi mempelajari beberapa kaedah untuk meningkatkan lagi mutu lukisannya.

“Kaedah yang saya pelajari itu digunakan dalam usaha menghasilkan lukisan seperti potret untuk nampak lebih hidup dengan warnanya yang lebih timbul,” katanya.

Mahbob yang bertugas sebagai pemuzik dalam Orkestra Simfoni Kebangsaan di Panggung Negara berkata, lukisan terbahagi kepada lukisan potret, pemandangan serta abstrak. Sebagai aspek asas dalam bidang itu, seseorang pelukis perlu bijak menggunakan adunan warna.

Contohnya, untuk melukis potret, kesenian dan pengetahuan mewarna sama ada menggunakan pensil, krayon atau cat minyak amat penting bagi menghidupkan sesuatu potret, di samping melahirkan lukisan yang bermutu tinggi.

Katanya, beliau lebih gemar melukis potret dengan menggunakan pastel yang kadar ketebalan serta kenipisan warnanya mampu dikawal berdasarkan kaedah campuran pelbagai warna bagi membentuk satu warna pada kertas lukisan itu.

Berbanding lukisan yang menggunakan warna air atau cat minyak, pengawalan warna agak sukar. Oleh itu, campurannya harus dilakukan di atas piring warna terlebih dulu sebelum diletakkan pada kertas.

“Untuk melukis, saya tidak perlu melakarkan raut wajah seseorang dengan pensil terlebih dulu, sebaliknya saya terus melukis wajahnya dengan menggunakan pastel.

“Ini kemudiannya diikuti dengan melukis bahagian lain seperti rambut, baju serta latar belakang,” katanya.

Jika Mahbob menumpukan sepenuh perhatiannya, beliau mampu menyiapkan lukisan itu dalam tempoh lima jam. Pada waktu itulah, sambil tangannya menggarap serta bermain dengan warna, hobi itu turut meberi ketenangan jiwa kepadanya.

“Ia seolah-olah membawa saya ke alam lain yang tidak diterokai insan lain. Imaginasi kita juga lebih ketara untuk menyiapkan sesuatu lukisan itu, daya imaginasi yang kuat adalah faktor utama,” katanya.

Menurutnya, kos yang dikeluarkannya bagi melukis potret menggunakan pastel tidaklah terlalu tinggi dan beliau hanya mengeluarkan RM160 untuk membeli sekotak pastel yang mengandungi 60 batang pastel.

Setakat ini, katanya, sejumlah 40 lukisan potret, termasuk satu lukisan wajah bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Elyas Omar.

Bagaimanapun, bagi Mahbob yang pasti kegiatan masa lapangnya itu juga dapat memberi pendapatan sampingan kepadanya kerana ada yang dijual pada harga RM300 hingga RM350 satu.

Menurutnya yang menggunakan nama pena H Mahbob Mohd pada lukisan yang dihasilkan, beliau akan terus melakukan hobinya itu kerana ia tidak pernah mendatangkan jemu sebaliknya memberi ketenangan jiwa yang tersendiri.

Wednesday, December 26, 2018

Tubuh wanita beri ilham

29 APRIL 1995

Prabha Kaur Bajaj, Pelukis dari India akui;

Keluarga turut hadir di hari perasmian Inner Treasure

WANITA ini tidak mempunyai pendidikan formal mengenai seni lukisan yang diceburinya. Namun dia banyak mendalami seni dan pengalaman merantau ke luar negara dan juga menerusi pergaulan dengan pelbagai golongan masyarakat.


'Jauh berjalan luas pemandangan.' Itulah pepatah lama yang dipegang oleh Prabha Kaur Bajaj, 32, seorang suri rumah sepenuh masa yang kini aktif melukis.

Beliau adalah anak kelahiran India namun kini menetap di Singapura kerana suaminya adalah warganegara Singapura. Sebelum ke Singapura, Prabha juga pernah ke Dubai malah Prabha pernah bekerja dengan artis seni di Jepun.

Bagi Prabha seni melukis ini adalah satu cara merehatkan mental. Dia akan melukis apabila dia rasa perlu baginya untuk melukis. Masa pilihannya adalah ketika larut malam atau pun awal pagi kerana pada waktu-waktu begini ketenangan diri diperolehi.

Sewaktu ditemui di pameran 'Inner Treasure' Balai Seni Maybank baru-baru ini, Prabha ditemani oleh keluarganya.

Dalam pameran itu, Prabha mempamerkan 18 koleksi lukisannya. Dan berlainan daripada pelukis lain yang membuat pameran di situ, Prabha lebih suka melukis bentuk tubuh wanita atau pun 'figure' berbanding pemandangan.

Menurut Prabha, pergerakan dan hayunan badan dan lenggok wanita mempunyai seni tersendiri. Dan biasanya Prabha memilih wanita India dan Melayu kampung.

"Jika bertemu dengan wanita-wanita ini dan merasakan ada keunikan pada wanita tersebut, saya akan menemui dan minta izin mereka untuk dipotret. Melalui gambar tersebutlah saya jadikan model lukisan," ujarnya.

Bagi Prabha, seni adalah sesuatu yang unik, semua manusia yang berada di sekelilingnya mempunyai nilai seni tersendiri.

Sebagai isteri, dan ibu kepada tiga orang anak, Prabha mendapat sepenuh dorongan daripada keluarga. Malahan anak perempuannya yang berusia 8 tahun mula mewarisi bakat melukisnya.

Dalam pameran yang diadakan sehingga 29 April ini, empat pelukis wanita lain turut serta mempamerkan lukisan mereka.

Melukis adalah salah satu cara merehatkan fikiran.


Pelukis perlu rapat dengan masyarakat

BERITA HARIAN/ISNIN, 29 JANUARI 1996

RAMAI yang menganggap sebahagian besar karya lukisan yang tidak memaparkan objek nyata sangat sukar untuk diselami sentuhan jiwa pengkaryanya.

Kenyataan ini juga memyebabkan sebahagian besar lukisan yang tinggi nilainya disimpan sebagai khazanah oleh badan korporat, orang perseorangan atau pelukis sendiri.

Kecenderungan ini seperti membenarkan tanggapan umum, bahawa lukisan adalah untuk kelompok elit kerana ia dihasilkan dalam jumlah yang sangat terbatas dengan harga yang agak lumayan.

Sehubungan itu, Sastera dan Budaya mendapatkan pandangan beberapa pelukis bagi mendapatkan penjelasan apakah benar tanggapan umum selama ini bahawa lukisan adalah untuk kelompok elit.

Pengarah Unit Kebudayaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Siti Zainon Ismail, tidak setuju dengan pandangan itu kerana baginya semua seni sebenarnya bersifat universal.

"Tanggapan sedemikian rupa timbul kerana pendedahan seni lukis formal sangat kurang, dan ramai pula terlalu banyak didedahkan dengan lukisan karya pelukis berbakat, tetapi kurang mendapat pendidikan formal," katanya.

Bagi Siti Zainon, khalayak sewajarkan diberi pendidikan seni secara tidak formal oleh kelompok yang menerima pendidikan formal menerusi pameran, bengkel dan dialog.

"Sebenarnya, pelukis yang menerima pendidikan formal berkarya untuk menampilkan jati diri dan mereka memerlukan suasana tenang bagi menghasilkan karya," katanya.

Dalam usaha memasyarakatkan lukisan kepada khalayak, Siti Zainon mencadangkan penaja mengkhususkan kepada kelompok pelukis berpendidikan formal untuk sesuatu pameran, agar mereka boleh berinteraksi dengan khalayak.

"Tidak semua pelukis mempunyai studio sendiri atau mampu mengadakan pameran secara solo," katanya.

Bakat seni lukis pelajar MARA


CANTIK... Elein Elinawaty bersama karyanya.
JARANG sekali ditemui karya pelajar menyertai pameran besar, tetapi langkah Kolej Mara Banting mengadakan pameran lukisan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), adalah satu usaha berani yang patut dipuji.

Ini kerana pelajar yang menyertai pameran itu bukannya pelajar seni lukis, sebaliknya mereka mengambil bidang lain khususnya seni bina, namun bakat mereka dalam seni lukis tidak boleh dipandang sepi. Jika ada dorongan berterusan, mereka boleh menjadi pelukis berjaya.

Keberanian juga kerana mereka bersedia memohon jasa baik pihak pengurusan PWTC menyediakan ruang, dan hasilnya tidak sia-sia. Pelajar dari kolej itu adalah pihak yang pertama dibenarkan mengadakan pameran tiga hari di pelantaian PWTC, bermula Isnin lalu.

Pameran bertajuk FEWW Art Exhibition 96 itu disertai 65 pelajar GCE A Level dan program International Baccalaureate, Kolej Mara Banting yang dirasmikan Ketua Pengarah Mara, Datuk Mohd Ridzuan Abdul Halim. Turut hadir ialah Pengarah PWTC, Puan Sri Suraya Abdullah. Lukisan yang dihasilkan bertemakan tanah, air, api dan angin (FEWW) dijual dengan harga RM99.99 hingga RM3,000.

Empat elemen itu mempunyai hubungan rapat dengan manusia.

Ridzuan dalam ucapannya memuji usaha pentadbir kolej kerana berani mengetengahkan karya pelajar ke luar lingkungan sekolah bagi membuktikan kemampuan mereka.

Beliau juga mahu mereka yang terbabit dengan seni supaya memberi perhatian kerana pengabaiannya, menyebabkan seni itu terpinggir dan akan terpupus seperti yang berlaku kepada kesenian Islam suatu ketika dulu.

Pengetua Kolej Mara Banting, Matias De Menezes pula berkata, langkah pihaknya mengadakan pameran di luar kawasan sekolah, bertujuan memberi pendedahan kepada mereka selain memberi ruang kepada pelajar berhadapan dengan orang ramai.

Katanya, sebelum ini pameran diadakan di kawasan sekolah dan seni lukis diperkenalkan kerana ia salah satu mata pelajaran penting dalam pembelajaran seni bina.

Seorang pelajar Elein Elinawaty Mohd Saheh berkata, untuk pameran ini, beliau menghasilkan dua lukisan cat minyak mengenai kejadian bot terbakar di Pelabuhan Klang dan sebuah pemandangan di Terengganu.

Tuesday, December 25, 2018

Pameran grafik Belanda di BSLN

Oleh Jamudin Idris

NEGERI Belanda mempunyai sejarah panjang mengenai seni grafik. Pada abad ke-17, seni etsa (membuat gambar dengan kepingan logam yang bergambar sebagai cap) cepat berkembang bahkan ada peminat seni yang lebih menyukai seni etsa berbanding lukisan.

Dekad terakhir ditandai dengan adanya perubahan yang mengejutkan dalam seni Barat. Muzium, galeri dan akademi tidak lagi hanya memberikan tumpuan pada seni abstrak, sebaliknya seni figuratif tiba-tiba menjadi sangat popular.

Galeri Petit dan Clement/Printshop adalah antara nama besar dalam seni grafik di Belanda dan berkat kerjasamanya, seni itu diterbangkan ke negara ini untuk dipamerkan di Balai Seni Lukis Negara (BSLN).

Lebih 70 karya seni yang dihasilkan secara cetakan menyertai pameran Seni Grafik Masa Kini, selama sebulan bermula 10 Oktober dan dirasmikan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Sabbaruddin Chik.

Karya seni yang dipamerkan itu adalah hasil terpilih daripada pameran yang diadakan di Belanda yang diberi nama Pameran Keenam Seni Grafik Masa Kini, dan angka enam itu menunjukkan sudah enam kali pameran seumpama itu diadakan bermula 1982 anjuran dua galeri terkenal di Belanda.

Karya seni yang dipamerkan di BSLN dijual pada harga terendah RM285, dan tertinggi RM3,950. Kebiasaannya cetakan awal, yang mutunya dikatakan lebih berkualiti dijual pada harga tinggi. Pada hasil seni yang dipamerkan itu, mereka menyebut nombor cetakan.

Seni grafik yang dipamerkan kali ini dihasilkan tokoh ternama di Belanda seperti Vincent van Ojen, Michel van Overbeeke, Karel Appel, Nicolaas Wijnberg, Jam Creamer dan Marcel Schellekens. Selain teknik etse, artis juga menggunakan teknik cetakan polystyreen, silkscreen, woodcut dan litograpi.

Pameran seni grafik Belanda ini adalah yang pertama diadakan di Kuala Lumpur. Sebelum ini pameran serupa diadakan di Jakarta, Indonesia.

Sempena pameran itu, Kurator Pameran, Ruud Spruit akan memperkatakan Seni Grafik Belanda, di BSLN. Selasa depan, jam 5.30 petang.

Sabbaruddin dalam ucapannya berkata, pameran itu membuktikan wujudnya hubungan baik antara dua negara melalui pertukaran kebudayaan dan kesenian.

Katanya, jika seni grafik begitu mendapat tempat di Belanda, negara ini juga tidak kurang dengan pelukis ternama seperti Syed Ahmad Jamal, Khalil Ibrahim dan Ibrahim Hussein dalam mewarnai seni lukis negara.

Menurut Sabbaruddin, kementerian memberi perhatian kepada kegiatan seni dan kerana itu Taman Seni Budaya, Akademi Seni dan Balai Seni Lukis Negara diberi perhatian bagi memajukan bidang itu.

Langkah membawa seni itu ke sini amat besar sekali manfaatnya untuk mempertemukan seni Timur dan Barat. Bagi Belanda sendiri, tentunya pameran itu satu penghormatan kerana berjaya membawa hasil seni grafik daripada seniman terbaik ke negara Asia kerana Asia sendiri mempunyai sejarah panjang mengenai seni grafik.

Di samping itu, seniman muda Asia menjelajah ke seluruh pelusuk dunia menimba ilmu bagi memberi imej dan identiti baru pada seni dan budaya mereka.

Pameran Challenge I di City Square Center

ANAK dan ayah adalah antara enam pelukis yang mengambil bahagian dalam pameran lukisan bertajuk Challenge I yang diadakan di Tingkat Satu, City Square Center, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, mulai semalam hingga 7 Mei.

Enam pelukis itu ialah Aris Aziz, Syed Hashim Ahmad, Azmi SH, M Jos, Nadzrey Yang dan Azmi Aris.

Bagi Jo, Nadzrey dan Azmi ini adalah kali pertama mereka mengambil bahagian dalam pameran lukisan.

Pameran itu ditaja oleh Picturesque Intan Suria Sdn Bhd dan dirasmikan oleh bekas Pengarah Bahagian Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Isa Ramli, jam 11 pagi.

Jo berkata, setiap peserta menyumbang 10 lukisan dengan menggunakan media cat minyak, akrilik dan pastel.

Semua karya yang dihasilkan mempunyai keistimewaan tersendiri berdasarkan pengkhususan tertentu. Sebagai contoh Aris dengan lukisan potret, manakala anaknya Azmi dengan siri ayam kerana sembilan lukisannya yang dipamerkan mengenai ayam.

Nadzrey pula menggunakan media cat minyak untuk menghasilkan siri bot manakala Jo, seorang ahli perniagaan menghasilkan lukisan mengenai pemandangan dan abstrak dengan menggunakan media akrilik.

Jo berkata, nama Challenge I dipilih kerana tiga daripada mereka adalah orang baru yang tidak mempunyai kelulusan daripada institusi pengajaran seni tetapi mempunyai bakat dalam bidang lukisan dan ini dianggap cabaran kepada mereka.

Lukisan yang dipamerkan di situ dijual di antara RM800 hingga RM8,000. Lukisan paling mahal dihasilkan oleh Aris mengenai pemandangan sebuah kampung dari udara.

Peminat lukisan dan mereka yang berminat mengumpul koleksi lukisan dijemput hadir memanfaatkannya. – JI

Pelukis tempatan setanding

KUALA LUMPUR: Pelukis tempatan digalakkan menceburkan diri secara profesional dalam bidang itu selaras kehendak kerajaan menampilkan mereka sebagai usahawan negara yang berjaya.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Idris Jusoh, berkata ini berikutan pelukis tempatan kini mampu mempamerkan kualiti lukisan setanding dengan pelukis luar negara yang terkenal.

Beliau berkata sudah sampai masanya pelukis tempatan mengorak langkah memajukan diri mereka dan bukannya hanya setakat dikenali sebagai pelukis jalanan sahaja.

Sehubungan itu, katanya, pelukis tempatan perlu menubuhkan sebuah organisasinya sendiri kerana kini ada ramai pelukis tempatan yang berbakat.

Dengan penubuhan itu, katanya, hasil karya lukisan pelukis tidak disia-siakan begitu sahaja kerana lukisan yang berkualiti itu boleh dijual.

"Bakat yang ada pada mereka seharusnya digilap dan tidak boleh disia-siakan begitu sahaja," katanya.

M Nasir tukar haluan

M Nasir... falsafahnya menjadi perkara penting dalam setiap lukisan yang dihasilkannya.

ARTIS Paling Popular 1994, M Nasir yang hampir saban hari sibuk dengan tugasnya di bidang muzik bertukar haluan apabila dia menumpukan dunia lukisan buat sementara waktu.

Lukisan bukan baru bagi dirinya. Malah sebelum terbabit dalam dunia muzik, M Nasir adalah seorang pelukis.

Kini peminat boleh melihat sendiri karya lukisannya yang akan dipamerkan Pameran Malay Artists-Singapore di Galeri Petronas, Kuala Lumpur selama 24 hari bermula 12 Mei ini.

Menurutnya, dia tidak menduga dijemput pengerusi pameran itu, N Parameswaran untuk menyertai pameran itu kerana sudah lama tidak berkarya dalam bidang lukisan.

Begitupun, katanya, dia tidak memandang ringan sekalipun hanya dua lukisan saja yang akan dipamerkan di pameran itu.

"Ini bukan bidang yang ringan walaupun nampak ringan. Walaupun hanya jemputan ia memerlukan ketrampilan dan komitmen yang secukupnya.

"Ia tidak boleh dibuat main-main. Macam nyanyian juga, semua orang boleh menyanyi tetapi tidak semua boleh menjadi penyanyi," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

M Nasir adalah antara orang yang dijemput mengadakan pameran itu. Turut diundang ialah birasnya, penulis lirik terkenal S Amin Shahab.

Dia akan mempamerkan dua hasil karyanya, manakala satu lagi masih dalam proses penyudah. Jika sempat disiapkan, lukisan itu juga turut dipamerkan di pameran itu.

Komposer yang turut meraih gelaran Penyanyi Paling Popular 1994 ini juga menyifatkan lukisan sebenarnya sama dengan muzik yang mempunyai pelbagai aliran, gaya, teknik, falsafah dan konsep.

"Seperti dalam muzik, pelukis juga dari semasa ke semasa sentiasa menampilkan banyak gaya terbaru masing-masing. Sekurang-kurangnya mereka berusaha untuk memperkenalkan teknik lukisan terkini.

"Tapi dari satu aspek, setiap pelukis sentiasa ada falsafahnya tersendiri. Falsafahnya itu menjadi perkara penting dalam setiap lukisan yang dihasilkannya," jelasnya lagi.

Bagi dirinya, M Nasir berkata, falsafah yang dikemukakan pada lukisannya ialah setiap benda yang ada di depan mata mempunyai peranan tersendiri dalam kehidupan sehari-hari.

Seni lukis sebati dalam kehidupan Saiful Razman

BAKAT SEMULA JADI: Saiful Razman meminati seni sejak di bangku sekolah.
PERWATAKANNYA saja sudah cukup untuk menterjemahkan keperibadiannya yang cintakan seni. Setiap apa yang dituturkan tidak lari daripada unsur seni yang penuh dengan kiasan dan simbolik tersendiri. Begitulah cerita yang dapat disimpulkan mengenai anak muda yang baru berusia 27 tahun ini.

Cukup meminati bidang seni sejak di bangku sekolah lagi mendorong Saiful Razman Mohd Kassim melanjutkan pelajaran dalam jurusan seni halus di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam sehingga 2003. Sejak itu, jejaka kacak itu tidak menoleh ke belakang lagi untuk memilih hala tuju dalam bidang berkenaan.

Buktinya, beliau semakin dikenali dalam bidang seni lukis, selain menjawat jawatan sebagai Pengurus Arts Space, The Annexe @ Celtral Market, Kuala Lumpur.

"Mulanya dulu saya lakukan saja secara sambilan dengan menyertai pameran, tetapi melihat potensi dalam bidang ini menyebabkan saya memilih untuk melakukan bersungguh-sungguh, termasuk terbabit dalam beberapa pameran.

Menyelami lanjut mengenai karakter dalam dirinya, Saiful Razman dengan tenang mengungkap tiga makna yang sinonim dengannya iaitu pendiam, perokok dan sangat bersederhana. Mari mengenali jejaka minggu ini.

Bagaimana Saiful Razman melihat potensi dalam bidang seni lukis ini?
Sebenarnya kerjaya ini juga memberi potensi cukup besar sekiranya pelukis sendiri bijak untuk meneroka peluang yang ada. Banyak ruang sebenarnya untuk menyerlah. Kelahiran ramai pelukis hari ini merancakkan lagi aktiviti seni di negara ini.

Bagaimanakah Saiful Razman cuba menyangkal sesetengah tanggapan yang kerjaya ini tidak memberi jaminan masa depan?
Itu semua bergantung kepada individu sendiri. Saya sendiri tidak saja menumpukan bidang seni lukis kerana saya juga adalah Pengurus Arts Space, The Annexe @ Central Market, Kuala Lumpur.

Mengapa Saiful Razman memilih bidang ini berbanding yang lain?
Sejak kecil lagi seni sudah menjadi sebahagian dalam diri saya. Entahlah, saya suka sesuatu yang kreatif. Minat itu terbawa-bawa dan saya sendiri juga memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sama.

Bagaimanakah penerimaan keluarga?
Mereka sangat menyokong dengan apa yang saya lakukan.

Bagaimana Saiful Razman mencari ilham menemukan idea dalam berkarya?
Macam-macam benda di sekeliling yang membantu saya dalam mengolah sebagai suatu inspirasi.

Melihat keadaan ini, Saiful Razman nampaknya sedikit sibuk dengan kerjaya seni. Betulkah begitu?
Tidak juga. Saya masih mempunyai ruang untuk bersosial dengan teman dan menonton wayang yang menjadi kegemaran saya.
INFO
Saiful Razman Mohd Kassim

Umur: 27 tahun
Tarikh lahir: 20 September 1980
Tempat lahir: Teluk Intan, Perak
Tinggi: 170 sentimeter
Berat: 62 kilogram
Kerjaya: Pelukis dan Pengurus Arts Space, Pasar Seni Kuala Lumpur
Lokasi yang paling digemari untuk dikunjungi di ibu kota?
Chow Kit. Mengapa? kerana di situ banyak barang unik dan terpakai yang bermutu tinggi.

Lokasi percutian yang menjadi kegemaran Saiful Razman?
Tidak terhad di dalam negara, saya gemar juga bercuti di negara Asean khususnya di Manila, Filipina. Saya suka mengembara seorang diri setidak-tidaknya seminggu. Memang menyeronokkan!

Wanita yang bagaimana menjadi idaman Saiful Razman?
Kalau boleh biarlah dia juga meminati aliran seni. Mudah rasanya. (tergelak). Lebih manis jika dia seorang penyanyi sebab saya mungkin boleh membuat reka bentuk kulit albumnya. (ketawa seraya bergurau).

Tiga barang yang mesti ada setiap kali keluar bekerja?
Pastinya pemetik api, telefon bimbit dan beg sandang.

Rechel rakam pengalaman dalam lukisan

RASA HATI...Rechel bersama dua lukisan minyak yang dipamerkan.
Oleh Laila Halilah Nasir


PENGEMBARAAN dan perjalanan dari satu tempat ke tempat lain adalah suatu pengalaman menyeronokkan, dan sepatutnya dikongsi bersama. Namun, bagaimana seseorang itu melahirkan pengalamannya supaya dapat diamati sememangnya berbeza.


Bagi Rechel Lebenas, nama yang tidak asing lagi di kalangan peminat lukisan minyak, semua pengalaman terutama yang berkaitan kehidupan dan wanita, diluahkan di atas sehelai kertas putih hingga menjadi lukisan abstrak menarik.

Rechel memang dikenali oleh peminatnya sebagai seorang pelukis dan pelakon yang banyak melakukan pengembaraan dan menjelajah ke merata dunia, sama ada untuk melancong atau mengadakan pameran lukisan solonya. Namun tidak ramai yang mengetahui bagaimana beliau berjaya mencurahkan pengalaman di atas kertas lukisan yang menjadi rebutan ribuan peminat lukisan minyak.

Beliau yang berasal dari Buenos Aires, Argentina, berjaya menampilkan konsep keseimbangan harmoni di antara kehidupan dan seni secara artistik di sepanjang kerjayanya yang menjangkau 30 tahun sebagai pelukis lukisan minyak.

Luahan seni yang ditonjolkan melalui setiap karyanya melambangkan sifat beliau yang sensitif sebagai wanita. Baginya wanita adalah insan yang lembut, manja, memberahikan tetapi sering menjadi mangsa kekecewaan dan merana.

"Itulah hakikat yang sering dialami oleh banyak wanita di seluruh dunia dan perjuangan untuk mengimbangkan antara keharmonian kehidupan dan hak wanita perlu diluahkan untuk tatapan dan kesedaran semua.

"Saya mengenali lukisan, berus dan akrilik sejak kecil. Pembabitan saya di bidang ini bermula ketika saya sudah pandai menconteng dinding dan tembok di rumah.

"Bermula dari situ, saya ingin menceritakan segala apa yang saya lihat dan dengar melalui lukisan yang menarik terutamanya yang menyentuh kehidupan wanita dan kemanusiaan," katanya ketika di temui selepas majlis perasmian pameran lukisan solonya yang bertajuk 'The Mantle of Miracles 1994', yang diadakan di Hotel Istana, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut beliau, semua lukisan yang dihasilkan menggunakan konsep harmoni dan sejagat serta menggunakan akrilik dengan pelbagai warna kehidupan yang melambangkan kesegaran. Semuanya lahir secara spontan.

"Jika dilihat daripada semua lukisan yang saya pamerkan di sini, hampir kesemuanya mengetengahkan wanita sebagai watak utama. Ini kerana saya seorang wanita dan memahami jiwa wanita. Saya juga beranggapan wanita adalah suatu yang indah, menarik tetapi amat sensitif," katanya.

Menyentuh mengenai pameran solo karyanya yang diadakan buat julung kali di negara ini, beliau berkata idea itu timbul selepas beliau membuat lawatan dan mengadakan pameran di India.

"Banyak lukisan saya menggambarkan kehidupan, penderitaan dan cara hidup masyarakat wanita India. Lukisan yang saya pamerkan ini, saya ilhamkan ketika saya berada di negara itu, pada 1987 dan 1990.

"Setiap karya yang saya hasilkan menyentuh hubungan yang erat di antara rakyat kedua-dua negara, India dan Argentina," katanya.

Katanya, pertama kali beliau menjejakkan kaki ke India ialah pada 1987, sewaktu diundang untuk mengadakan pameran di Galeri Azan Ghazan iaitu sebuah galeri lukisan terkenal di sana.

Pada 1990, beliau sekali lagi ke India untuk mengadakan pameran berasaskan karya Martin Fierro yang diterjemahkan ke versi Hindi. Pada tahun 1993, beliau diundang sekali lagi oleh Pusat Peringatan Ghandi di Washington, Kedutaan Argentina dan India untuk menganjurkan secara bersama Pameran 'The Mantle of Miracles - 1993' dan hingga tahun ini, pameran itu diteruskan ke negara Asia.

Sejak membabitkan diri secara profesional di bidang seni lukis ini. Rechel sudah menghasilkan 47 karya yang dijual pada harga di antara RM1,000 hingga RM5,000.
Kini lukisan Rechel dikenali di seluruh dunia dan beliau pernah mengadakan pameran bersama pelukis terkenal dunia seperti Picasso, Miro, Chagall dan Dali pada 1978. Beliau juga mengadakan lebih 54 pameran di Greek, Timur Tengah, Amerika Latin, Eropah, Beijing dan New Delhi.

Rechel menghabiskan masa 10 hari di ibu kota untuk bersama peminat lukisan minyak seluruh negara dan berkongsi pengalaman dengan menyaksikan pameran lebih 40 lukisan ciptaannya yang diadakan sejak 29 September lalu.

"Sayang saya tidak dapat berada lebih lama di Malaysia. Banyak tempat yang ingin saya lawati tetapi tidak berkesempatan. Ingin saya mengabadikan pengalaman dan kehidupan wanita Malaysia dalam sebuah lukisan untuk dipamerkan ke seluruh dunia.

"Malaysia sebuah negara yang unik, pasti banyak perkara atau sentuhan menarik yang mampu saya lahirkan dalam lukisan saya," katanya mengakhiri pertemuan.