iklan

Tuesday, January 1, 2019

Kemala: Penyair pemikir sosial

SABTU, 20 JANUARI 1996

KAGUM... Samad (tengah) diiringi Kemala (kanan) dan Aziz ketika melawat
pameran Kemala di DBP, Khamis lalu.
Oleh Jamudin Idris

ADA orang menyatakan penulis sepatutnya mahir dalam banyak genre tetapi tidak kurang yang berpendapat lebih baik satu bidang saja. Dengan cara itu, penulis akan lebih matang dalam bidang yang diperjuangkannya. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), sebagai contohnya, tidak pernah tergelincir daripada dunia puisi yang semakin menjadi darah dagingnya.


Sejak awal lagi, Kemala menjadi manusia berfikir - atau falsafi dalam karyanya. Kumpulan puisi Meditasi agak membinggungkan untuk pembaca memahaminya, mengapa dalam usia yang begitu muda, Kemala sudah berfikir begitu tua.

Sasterawan Negara A Samad Said berkata, kumpulan puisi Ayn dan Pelabuhan Putih lebih mengharukannya, kerana beliau sendiri tidak terfikir untuk menulis puisi sedemikian.

“Sementara saya mencari makna sufis dari balik tiang Masjid Negara, Kemala mengejutkannya dengan antologi terbaru Titir Zikir,” kata Samad ketika merasmikan pameran Kemala: Tiga Dekad Bersama DBP di Balai Keris Mas, Khamis lalu.

Samad berkata, berdasarkan empat daripada tujuh antologi Kemala jelas membuktikan penyair itu banyak bercakap mengenai kehidupan, kematian, keghaiban, kehadiran serta kehilangan. Kehilangan lebih menusuknya kerana kehilangan biasanya menuntut jawapan, sedangkan jawapan tidak mungkin tepat.

Kemala sebenarnya diasuh untuk menjadi insan birokrat - dan memang itulah selama lebih 28 tahun berkhidmat dengan DBP. Daripada tanggungjawab menangani pelbagai majalah seni, dia turut menjadi wakil seniman ke luar negara. Dari duduk berjerih di meja pejabat, beliau sempat memimpin dan memperkuatkan persatuan penulis.

Kemala menjadi insan seni yang dideritakan oleh tuntutan birokrat dan menjadi birokrat yang disindir seninya. Selama 28 tahun, beliau berada dalam dilema dan selepas melalui alam persaraan, diharap banyak cita-cita dan harapannya akan terlaksana.

Samad berkata, pameran yang diadakan ini sebenarnya bukan menandakan penghormatan sebelum bersara tetapi ia adalah satu penemuan dan kesedaran, seorang petugas institusi selama ini mungkin terlupa diperiksa kebolehan dan sumbangannya.

Mereka menyusun jambangan bunga dan meletakkannya di tengah dewan khazanah sastera dan semua orang akan tercium bau harumnya juga, kerana jambangan itu satu kerja seni.

“Disebabkan itu, saya harap Kemala akan tetap selalu ke sini, mengadakan pameran lukisan sebaik terhimpun karya yang munasabah, mendeklamasikan puisi sebaik tercipta sajak baru, dan bertengkar seni sesama ilmuan dalam forum atau seminar,” katanya.

Ketua Pengarah DBP, A Aziz Deraman pula berkata, sumbangan abadi Kemala terhadap DBP selama hampir tiga dekad, tidak dapat dinilai dengan wang ringgit dan sewajarnya dicatatkan dengan tinta emas dalam lipatan sejarah kesusasteraan Malaysia.

Beliau terbabit secara langsung dalam usaha memasyarakatkan puisi Malaysia kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa. Beliau mempelopori usaha mengadakan siri Pengucapan Puisi Kuala Lumpur, acara baca naskhah, baca puisi dan cerpen, penubuhan Persatuan Kesusasteraan Bandingan dan bergerak aktif memperjuangkan pembentukan Bahagian Kesusasteraan Bandingan.

Pembentukan Bahagian Kesusasteraan Bandingan diharap dapat mempercepatkan usaha mengantarabangsakan kesusasteraan Malaysia sebagai warga sastera dunia dan pengiktirafan yang wajar dan bermartabat terhadap hasil kesusasteraan tempatan.

Aziz berkata, DBP merancang usaha mengadakan siri pameran di DBP sebagai tradisi dan amalan bagi menghargai sumbangan karyawan, seniman, sasterawan, pelukis dan editor yang ada di DBP.

Usaha dan tradisi mengenang jasa karyawan dan sasterawan seperti yang diadakan untuk Kemala itu seharusnya menjadi contoh kepada bahagian, jabatan dan badan korporat lain sebagai menghargai kakitangan mereka yang menjadi penulis, sasterawan atau karyawan kreatif yang produktif dan yang semakin kecil audiennya.

Pameran mengenai Kemala akan berlangsung selama dua minggu dan majlis diskusi antologi puisinya Titir Zikir akan diadakan hari ini.

No comments:

Post a Comment