iklan

Thursday, January 10, 2019

APS buka gelanggang berkarya



Personaliti Rakan Muda


Nama: Kamaruddin Talib
Umur: 35 tahun
Asal: Machang, Kelantan
Pekerjaan: Artis (lukisan potret/lanskap)
Kegiatan luar: Jurulatih di APS.
Hobi: Mengembara dan membaca



SENI selalunya berkait rapat dengan bakat.

Bagaimanapun, ia boleh dipelajari sama seperti ilmu pengetahuan dan kemahiran lain jika seseorang itu berminat, rajin, tekun dan berdisiplin.

Sejajar dengan hasrat kerajaan mahu membentuk masyarakat belia yang mantap, kreatif dan berinovatif, salah satu bidang yang mampu melaksanakan wawasan negara ini ialah seni lukis dan seni reka.

Angkatan Pelukis SeMalaysia (APS), sebuah badan yang turut menjayakan program Rakan Muda, kini menawarkan peluang kepada belia yang berminat mengambil bahagian dalam bidang seni.

Rakan Seni Budaya merancang 14 program tahun ini.

Mereka yang meminati seni lukis, seni tampak, seni foto, seni muzik dan seni teater boleh menyertai program ini.

Setiausaha Kerjanya, Ismail Othman, berkata belia yang berminat menyertai Rakan Seni Budaya boleh mendaftar di APS sekarang.

“Sejak APS membuka keahlian pada 28 Januari lalu, 80 belia sudah mendaftar untuk mengikuti lapan program utama yang dianjurkan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, setakat ini, APS hanya menumpukan kepada lapan program utama yang dijalankan di pusat itu iaitu seni lukis, seni tampak batik dan seramik moden, teater, senifoto (hitam/putih dan warna), muzik (vokal dan koir dan nyanyian).

Beliau berkata, APS akan memulakan kelas bagi lapan program berkenaan April ini.

Pusat seni lukisan, teater siap penghujung 1996

BERITA HARIAN, JUMAAT, 30 DISEMBER 1994

BANGGA... enam pelukis tempatan yang menyumbang kerja mereka untuk kalendar Lanskap Semulajadi Malaysia


KUALA LUMPUR, Khamis – Bidang seni dan teater tanah air maju setapak lagi berikutan pembinaan dua pusat kegiatan seni lukisan dan teater yang dijangka siap penghujung 1996.


Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Sabbaruddin Chik, berkata Galeri Seni Negara dan Panggung Negara itu akan dibina di satu kawasan di Jalan Tun Razak di sini.

Kedua-dua bangunan itu dijangka dirasmikan pada 1997 sempena genap 10 tahun kementerian ditubuhkan.

Menurutnya, kedua-dua projek itu yang dianggarkan berharga di antara RM40 juta dan RM50 juta akan pusat kegiatan karyawan kedua-dua cabang seni itu.

Beliau berkata, Galeri Seni Negara yang dijangka dapat disiapkan lebih awal, adalah empat kali ganda lebih besar daripada Balai Seni Lukis Negara.

“Kita sudah menyerahkan projek pembinaannya kepada sebuah syarikat swasta. Malah, kita juga bersetuju dengan cadangan bentuk bangunan galeri berkenaan yang akan mula dibina tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kalendar Rasmi Korporat Shell 1995 di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Eksekutif dan Pemangku Pengerusi Syarikat Shell Malaysia, Nizar Idris dan budayawan negara, Azah Aziz.

Seramai enam pelukis tempatan menyumbangkan hasil karya mereka di dalam kalendar itu yang bertemakan ‘Lanskap Semulajadi Malaysia’.

Di majlis itu Sabbaruddin menyerahkan koleksi lukisan goresan yang dimuatkan dalam kalendar itu kepada Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar untuk dipamerkan di pejabat wakil tetap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Sabbaruddin berkata, beliau yakin pembinaan kedua-dua pusat itu yang membabitkan kegiatan pementasan teater dan pameran lukisan tempatan serta antarabangsa, dapat membantu meningkatkan kegiatan seni itu.

“Ini kerana banyak kegiatan pementasan teater tanah air di sekitar ibu negara kini diadakan tanpa sebarang penyelarasan.

“Kegiatan seni itu dan pameran lukisan dapat diadakan dengan lebih tersusun apabila bangunan itu siap,” katanya.

272 sertai Anugerah Seni Lukis Philip Morris

BERITA MINGGU, Sastera dan Budaya, AHAD, 11 JULAI 1999

UNIK... Pegawai Perhubungan Awam Balai Seni Lukis Negara, Hashimah Nyok menunjukkan antara lukisan karya pelukis tempatan yang dipertandingkan.
Oleh JAMUDIN IDRIS

BALAI Seni Lukis Negara menerima 272 penyertaan untuk pertandingan lukisan yang paling berprestij di Asia Tenggara, Anugerah Seni Lukis Asean Philip Morris Malaysia–Asean, apabila tarikh tutup penyertaan pada 10 Jun lalu.

Berdasarkan penyertaan itu, menunjukkan pertandingan ini semakin mendapat perhatian ramai. Tahun lalu ia menerima 250 penyertaan berbanding 1997 sejumlah 217 penyertaan.

Bagi tahun ini, selepas ditapis hanya 74 lukisan layak dipamerkan dan 22 pengkarya akan menerima sijil penghargaan dan lima pemenang untuk peringkat Malaysia.

Empat panel menilai karya pelukis Malaysia. Mereka ialah Naib Presiden Institut Seni Lukis Malaysia (MIA), Choong Kaw Kaw yang juga Ketua Juri; pensyarah seni dari Institut Teknologi Mara, Awang Damit Ahmad; bekas pensyarah seni, Joseph Tan dan Ketua Fakulti Seni Gunaan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Hasnul Jamal Saidun. Zanita Anuar bertindak sebagai urusetia dari Balai Seni Lukis Negara.

Perasmian pameran Anugerah Seni Lukis Malaysia – Asean 1999 akan diadakan pada 13 Julai ini dan akan dilakukan Timbalan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Teng Gaik Kwan.

Pameran itu akan berlangsung sehingga 1 Ogos dan pada 17 Julai diadakan sesi dailog panel hakim dengan pemenang.

Pemenang peringkat negara akan menerima RM12,500. Mereka akan bertanding pada peringkat Asean dan kali ini akan diadakan di Kuala Lumpur.

Majlis penganugerahan serantau dijangka diadakan pada 3 November. Ia dijangka disertai pelukis dari sembilan negara Asean.

Empat asas utama diambilkira panel penilai iaitu penggunaan bahan tara kreatif, pemerasan dan teknik, keaslian persepsi seni dan cara tafsir serta kaitan dengan kesedaran Asia atau isu kehidupan Asia.

Pemenang peringkat negara akan bertanding pada peringkat Asean untuk merebut hadiah wang tunai yang keseluruhannya ditawarkan bernilai RM570,000 termasuk hadiah utama RM38,000 dan empat hadiah pilihan juri sebanyak RM19,000 setiap satu.

Tahun lalu, pelukis Malaysia Kow Leong Kiang memenangi hadiah utama dengan lukisannya bertajuk Mr Foreign Speculator, Stop Damaging Our Country! Pertandingan diadakan di Hanoi, Vietnam.

IMUDA lucu di pentas, pendiam di rumah

AHAD, 26 JULAI 1998

ROZALINA... beberapa bulan selepas berkenalan, baru dia mengetahui Imuda adalah pelakon dan pelawak.

TOLAK ANSUR... Rozalina faham kerjaya Imuda.

HARMONI... Imuda bahagia bersama isteri dan anak perempuan.


Oleh RAIHANAH ABDULLAH
Gambar RAMDZAN MASIAM



NAMA Abdul Rahim Muda atau lebih dikenali sebagai Imuda tidak asing kepada sebahagian besar masyarakat negara ini kerana gelagat lucu dan bersahaja beliau dalam sitcom 2+1 dan Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Bagaimanapun, anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu begitu asing kepada isterinya, Rozalina Rosli dan keluarganya di Seremban, Negeri Sembilan.

Ini kerana, Rozalina dan keluarga tidak pernah menonton sitcom lakonan Imuda.

Apatah lagi, Rozalina, 35, menghabiskan masa kira-kira lima tahun di Amerika Syarikat menuntut ilmu di bidang perakaunan.

Kali pertama diperkenalkan kepada Imuda oleh seorang rakan, Rozalina, tidak pernah menyangka Imuda sering menjadi perhatian ramai kerana telatah lucunya ketika berlakon.

Menurut Rozalina, hanya beberapa bulan selepas berkenalan, dia mengetahui bahawa Imuda adalah seorang pelakon dan pelawak tanah air yang begitu dikenali ramai.

“Ketika Im memberitahu bahawa dia adalah pelakon dan pelawak, saya terkejut kerana sikapnya yang sering merendah diri, tidak riak mahupun perasan biarpun sudah popular.

“Selepas berkawan kira-kira setahun, Im menyatakan hasrat hatinya untuk menemui keluarga saya di Seremban. Ibu bapa saya tidak pernah menonton lakonan Im dan mereka juga tidak mengenalinya dan agak terkejut apabila mengetahui saya berkawan dengannya.

“Bagaimanapun, selepas mendapat restu keluarga, kami mengambil keputusan untuk berkahwin pada November 1994,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata Raehanna, dua setengah tahun.

Apakah pandangan beliau terhadap Imuda? Menurut Rozalina, Imuda mempunyai personaliti berbeza ketika di rumah dan amat berlainan ketika berdepan dengan lensa kamera.

“Di rumah, Im adalah seorang yang pendiam, penyabar dan sukar hendak lihat dia marah. Bagaimanapun, Im peramah jika kita sudah lama mengenalinya dan sesekali turut berlawak,” katanya.

Beliau yang menyandang jawatan tinggi di sebuah syarikat terkemuka ini bagaimanapun tidak pernah membezakan kelebihan dimiliki, khususnya di bidang pelajaran.

“Bagi saya, segulung ijazah tidak semestinya menunjukkan kita sudah pandai atau serba boleh, malah bagi saya Im lebih cerdik daripada saya kerana dia berbakat dalam pelbagai bidang.

“Dalam sesebuah rumah tangga, kita tidak boleh jadikan ijazah atau latar belakang pendidikan sebagai pertandingan. Malah, saya tidak sekali-kali mahu menjadikannya sebagai ukuran dalam rumah tangga kami.

“Im jauh berbakat dan serba boleh berbanding saya. Terus terang saya katakan, pendapatan beliau juga lebih tinggi daripada saya walaupun saya berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

“Pada saya, Im juga pandai tetapi dia tidak berpeluang melanjutkan pelajaran, mungkin kerana kesempitan hidup pada masa itu. Apa yang penting ialah tolak ansur, hormat menghormati dan faham memahami,” katanya merendah diri.

Menurut Rozalina, Imuda juga bertindak sebagai penasihat kepadanya dalam pelbagai aspek, terutama apabila terpaksa berdepan dengan pihak media dan orang ramai.

Apa pula perasaan Imuda ketika mengetahui Rozalina berpelajaran tinggi dan apakah yang menyebabkan beliau terus menjalin hubungan dengannya?

“Ketika mula berkenalan, kami seperti kawan biasa tetapi tidak lama selepas berkawan, saya dapat tahu dia berpelajaran tinggi. Pada mulanya saya berasa rendah diri tetapi jodoh kami kuat.

“Jika dia berpelajaran tinggi, saya juga ada bakat semula jadi. Setiap orang ada kelebihan dan kelemahan, begitu juga Nana dan saya. Apa yang penting perlu ada sikap tolak ansur suami isteri,” katanya.

Selain jodoh dan takdir Allah mempertemukan Imudan dan Rozalina, Imuda juga tertarik dengan tingkah laku dan kematangan isterinya itu yang disifatkan berfikiran terbuka.

Tambahan pula, menurut Imuda, keluarganya juga tidak menentang pilihannya walaupun mengetahui Rozalina berpendidikan tinggi dan berjawatan tetap.

Imuda yang kini memiliki syarikat pengiklanan di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, kira-kira tiga bulan lalu sibuk mengendalikan perniagaannya itu.

“Alhamdulillah, syarikat pengiklanan saya berjalan lancar walaupun dalam kegawatan ekonomi sekarang,” katanya yang gemar mengisi masa lapang membawa Raehanna bersiar-siar dan membeli-belah.

Imuda yang banyak menghabiskan masanya di rumah untuk melakar kartun dan melukis agak tegas dengan Raehanna.

“Hanna lebih manja dengan ibunya berbanding saya. Walaupun saya memberi sepenuh kasih sayang kepadanya, jika ada yang tidak betul, saya memberi nasihat.

“Ketika ini, masih terlalu awal untuk mengetahui kemahuan Hanna. Bagaimanapun, saya akan pastikan Hanna akan membuat sesuatu yang boleh mendatangkan faedah kepada dirinya apabila dewasa kelak.

“Saya akan memberi kebebasan kepadanya untuk memilih bidang diminati tetapi ia perlu dilakukan secara profesional dan memberi kebaikan dan manfaat kepada dirinya,”

Melukis ikut alunan muzik

HARIAN METRO, KHAMIS, 29 MAC 2001

TERJEMAH IDEA... Hamzah membuat lakaran mengikut alunan muzik.

Personaliti
Teks dan gambar Abdul Jalil Ishak



BERDASARKAN empat unsur kejadian manusia, pelukis solo berorientasikan konsep ‘seni untuk seni’, Hamzah Lasa, 41, menggunakan kombinasi unsur tanah, air, api dan angin sebagai pencetus idea dalam menggarap lukisan kontemporari.

Berbekalkan pengalaman melukis selama 15 tahun, pelukis kelahiran Raub, Pahang itu menggunakan genre alam semula jadi dalam menghasilkan karya catan realistik.

Bagi Hamzah, lukisan abstrak mempunyai mesej bermakna berbanding lukisan genre lain terutamanya secara intrinsik di samping meninggalkan impak mendalam dari segi keindahan.

“Menggunakan warna alam dalam karya saya, bererti tidak memisahkan dunia dengan alam kehidupan nyata. Meskipun hidup kita sentiasa dilambung ombak, namun perjuangan harus diteruskan,” katanya.

Pelukis berkenaan ditemui selepas mengadakan pameran solo di kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sempena persembahan Evomuzique, baru-baru ini.

Uniknya, Hamzah mencoretkan ideanya berdasarkan rentak muzik dimainkan penyanyi dalam persembahan selama dua jam di majlis berkenaan.

“Idea tercetus sepantas muzik dimainkan kumpulan muzik yang berada di pentas, tangan saya tetap bergerak pantas menterjemahkan setiap madah yang dialunkan penyanyi dan pemuzik terbabit.

“Begitulah dunia saya sebagai pelukis. Saya rasa puas dengan coretan begini. Semakin pantas alunan muzik yang dimainkan, semakin pantas pula jari-jemari saya mencoretkan kisah suka duka yang dialami dalam simponi lagu yang dialunkan,” katanya.

Menurutnya, tidak ramai pelukis yang sanggup menceburi genre muzik abstrak kerana takut hasil mereka tidak mendapat pengiktirafan peminat seni secara total.

Seni baginya tidak lebih daripada coretan garisan, bentuk, warna tekstur dan abstraksi idea yang terdampar di merata tempat dan medan.

Malah, bukan semua seniman dapat menjelmakannya dalam bentuk yang mudah difahami khalayak.

Justeru, setiap cubaan yang mahu memaparkan sesuatu ilham harus dianggap kejayaan yang perlu diberi penghargaan tinggi setiap orang. Inilah seni dalam erti kata yang luas dan mempunyai dimensi global.


“Idea tercetus
sepantas muzik
dimainkan
kumpulan muzik”


SENI... tarian dan muzik yang memberi ilham kepada Hamzah.

Perkampungan Seni Lukis manfaatkan karyawan

Sastera dan Budaya, RABU, 29 OKT 1997

SITI ZAINON... medan ilmu seni
Oleh Salbiah Ani


NAMPAKNYA kerajaan semakin menunjukkan kesungguhan untuk membantu masyarakat pelukis negara ini mendapat tempat yang lebih bermakna, peningkatan ekonomi dan apresiasi terhadap karya seni berkenaan.

Terbaru usaha ke arah membantu kelompok berkenaan ialah dengan pembentukan Perkampungan Seni Lukis di Kompleks Budaya Kraf Kuala Lumpur yang turut menjadi kunjungan pelancong.

Perkampungan berharga RM306,000 itu menempatkan sembilan galeri setiap satu bernilai RM50,000 dan 18 pelukis tempatan turut dilantik sebagai pelukis residen.

Selari dengan pembentukan perkampungan terbabit Tabung Amanah Perkampungan Pelukis turut dibentuk bagi melengkapkan lagi prasarana dan menggerakkan kegiatan yang diatur untuk perkampungan terbabit.

Sehubungan pembentukan perkampungan terbabit, Sastera dan Budaya mendapatkan pandangan dua pelukis profesional yang juga tenaga akademik berwibawa di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan mengenai perkara itu.

Pengarah Unit Kebudayaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Siti Zainon Ismail, menyarankan pemilihan pelukis bagi perkampungan berkenaan dipelbagaikan.

“Seandainya tumpuan hanya diberikan kepada pelukis cat air saja, tentu tidak adil kerana di kalangan pelukis sendiri ada beberapa kelompok seperti naturalis, surealis, ekspresionis dan dekoratif.

“Bagaimana pula dengan kelompok pengarca, pengukir dan pembatik kerana mereka juga adalah penggiat seni tampak yang tidak wajar diketepikan kerana sama-sama memberi sumbangan kepada persada seni tanah air,” katanya.

Saranannya bukan saja bertujuan melindungi kepentingan penggiat seni berkenaan tetapi juga bagi memenuhi citarasa pengumpul karya seni tampak yang turut berbagai-bagai.

Dr Siti Zainon berharap Perkampungan Seni Lukis itu bukan saja menjadi pusat berkarya tetapi juga medan perkembangan ilmu seni secara keseluruhan selain turut dimanfaatkan untuk dialog.

“Perkampungan berkenaan boleh dijadikan sebagai wadah untuk meningkatkan apresiasi seni lukis tanah air selain sekolah seni lukis yang berlangsung dalam bentuk natural,” katanya.

Tokoh pelukis tanah air seperti Latiff Mohidin dan Ibrahim Hussein umpamanya wajar dijemput untuk berwacana mengenai seni di perkampungan terbabit agar dapat dimanfaatkan oleh generasi muda seni lukis tanah air.

Menurutnya, perkampungan terbabit turut wajar mempamerkan karya terbaru kedua-dua tokoh seni lukis tanah air itu kerana hasil kerja mereka kini menjadi eksklusif sehingga tidak mungkin ditemui sekalipun di Balai Seni Lukis Negara.

“Saya berharap Perkampungan Seni Lukis mempunyai kurator seninya sendiri yang bertanggungjawab mengatur kegiatan seni agar berterusan dan memberi manfaat kepada masyarakat pelukis dan khalayaknya sekali,” katanya.

Malahan, pemilihan residen artis untuk perkampungan berkenaan juga sewajarnya dihadkan untuk tempoh tertentu agar lebih ramai pelukis turut dapat menikmati kemudahan prasarana yang dibentuk itu.

Pensyarah Kanan Seni Halus di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Institut Teknologi Mara (ITM), Awang Damit Ahmad, pula berpendapat pembentukan perkampungan terbabit mampu meningkatkan apresiasi terhadap karya seni lukis.

“Ramai pelukis yang memerlukan tempat sedemikian untuk membolehkan mereka mengembangkan bakat dan mendekatkan masyarakat dengan karya seni lukis tanah air,” katanya.

Peruntukan galeri seni lukis sebagaimana yang diamalkan di Pasar Seni, katanya, tidak banyak membantu pelukis tanah air kerana ia lebih bersifat komersil daripada mengangkat martabat seni lukis.

“Dengan adanya studio terbuka melalui penyediaan sembilan galeri diperkampungan itu akan dapat memberi pendedahan bermakna kepada pelukis yang terbabit dalam program berkenaan,” katanya.

Awang Damit yakin galeri yang diperuntukkan kepada pelukis sepenuh masa saja bertujuan memastikan kegiatan seni lukis berterusan kerana sasaran Kompleks Budaya Kraf Kuala Lumpur adalah pelancong.

Beliau mencadangkan jumlah galeri di perkampungan itu dipertingkatkan pada masa depan sebagaimana di Torpedo Art Centre di Washington, Amerika Syarikat, yang menempatkan lebih 100 galeri.

“Lebih banyak galeri lebih baik kerana ia akan menimbulkan persaingan di kalangan penggiat seni lukis yang tentunya mahu tidak mahu berusaha meningkatkan mutu karya masing-masing,” katanya.

Menurutnya, pelukis tidak wajar takut kepada persaingan terbuka seperti itu kerana penggemar dan pengumpul lukisan turut mempunyai kecenderungan dan citarasa yang berlainan.



Rakyat diminta teruskan amalan menderma

BERITA HARIAN, RABU, 7 JULAI 1999

LUAHAN RASA... Kadir merasmikan pameran 'Lukisan Untuk Kosovo', di Balai Berita, semalam. Kanan sekali ialah pelukis Ambon dan Tazidi (tengah).

KUALA LUMPUR, Selasa – Rakyat negara ini perlu bersyukur kerana dapat menjalani kehidupan sempurna, aman damai dan jauh daripada sebarang malapetaka, kata Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir.


Menurutnya, keadaan itu berbeza dengan penduduk di beberapa negara asing yang terpaksa menjadi pelarian perang atau mangsa kebuluran akibat kekurangan bekalan makanan.


Sehubungan itu, beliau mahu rakyat negara ini meneruskan amalan menyumbang kepada mana-mana tabung yang diadakan bagi membantu penduduk dunia yang ditimpa malapetaka, walaupun ketika kegawatan ekonomi.

"Kita di Malaysia tidak ada kebuluran atau peperangan. Oleh itu kita perlu bersyukur dengan menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan," katanya ketika melancarkan pameran 'Lukisan Untuk Kosovo', di Balai Berita, di sini hari ini.

Sebagai tanda simbolik pelancaran pameran itu, Abdul Kadir memotong tali ikatan kanvas yang menutup lukisan berjudul ‘KIV, VIP, RIP’ sebelum menurunkan tandatangan ke atas lukisan berkenaan.

Hadir sama Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) yang juga Pengerusi Tabung Barisan Bertindak Kosovo (BBK), Datuk A Kadir Jasin; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Ahmad Rejal Arbee dan Ketua Pegawai Operasi NSTP, Faiz Ishak.

Selain itu, Pengarang Urusan Berita Sistem Televisyen Malaysia Bhd (TV3), Chamil Wariya; Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM), Abdullah Junid dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Saifuddin Abdullah, turut hadir.



Pameran berlangsung selama dua minggu di Balai Berita, Jalan Riong mulai hari ini dan dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Pameran bagi mengisi tabung BBK itu menghimpunkan 28 lukisan bertema kemanusiaan karya empat pelukis tanah air iaitu Tazidi Yusuf atau nama gelarannya Tazidi, Abdul Aziz Abdul Rashid (Akam), Hanafiah Ibrahim (Kerengge) dan Mohd Nordin Yusuf (Ambo).

Sebarang pertanyaan mengenainya boleh dikemukakan kepada Pegawai Komunikasi Korporat dan Promosi NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi melalui talian 03-2822323 sambungan 592.

Sentuhan Karim unik

Metro Ahad, Motivasi, Ahad, 19 JULAI 1998


GAYA TERSENDIRI... Karim bersama sebahagian karyanya yang dipamerkan di Hotel Concorde, Shah Alam. – Gambar SYAMSI SUHAIMI


Oleh RAHAYU MOHD SALLEH


PENGHASILAN lukisan di negara ini rata-rata diwarnai sentuhan yang menggabungkan pelbagai warna bagi menghasilkan karya realistik.

Namun, bagi pelukis tempatan, Karim Shahariman, 33, gabungan warna yang sedikit tetap menjadi pilihannya walaupun peminat lukisan di negara ini mungkin masih belum dapat menerima karya sedemikian, apa lagi kebanyakan karyanya berkonsepkan separuh abstrak.

Mendapat pendidikan seni lukis di luar negara, Karim tidak gentar membariskan dirinya dikalangan pelukis tanah air yang menghasilkan pelbagai karya yang berbeza daripadanya.

Menurutnya, pemilihan warna atau gaya melukisnya sedikit sebanyak dipengaruhi persekitaran, terutamanya karyanya yang kini dipamerkan di Hotel Concorde, Shah Alam, yang dihasilkan sejak 1989 hingga 1993 ketika masih menuntut di Paris, Perancis.

PROFIL

NAMA: Karim Shahariman
TARIKH LAHIR: 15 Disember 1965
TEMPAT LAHIR: Sydney, Australia
PENDIDIKAN: St John Institution, Kuala Lumpur
Sijil Seni, Seafort T A F E College, Sydney,
Ijazah Sarjana Muda Seni Halus, Parsons School of Design, Paris.
KERJAYA: Pensyarah Sambilan Kajian Senireka dan Senilukis, Institut Teknologi Mara (ITM), Shah Alam.


Yang nyata, Karim gemar mewarnakan kanvas hanya berdasarkan imej separuh sedar digabungkan dengan perasaan dalaman bagi menghasilkan karya secara spontan.

Setakat ini, Karim senang dengan pemilihan warna serta gaya melukisnya sebagai sebahagian daripada personalitinya walaupun diakui dia masih belum menemui gaya melukis yang cocok untuknya.

Bakat seni itu diwarisi daripada ayahnya, seorang arkitek tetapi Karim tetap mempunyai kreativiti tersendiri dengan penghasilan lukisan yang unik.

“Ini bukan kehendak saya tetapi kini, saya mungkin menukar penggunaan warna untuk disesuaikan dengan cita rasa peminat lukisan di negara ini yang sudah biasa disajikan dengan karya cantuman pelbagai warna.

Mengenai pameran solo pertamanya di Shah Alam itu, Karim berkata dia mengambil tempoh yang agak lama sebelum berani membabitkan diri dalam pameran solo sedemikian.

Malah, pada awalnya, dia kurang yakin mempertaruhkan 28 lukisan untuk dijadikan bahan pameran. Sebelum ini, dia hanya terbabit dalam beberapa pameran berkumpulan.

“Tetapi kawan-kawan yang datang melihat lukisan saya di rumah menggalakkan saya mengadakan pameran kerana merasakan hasil karya saya perlu diberi pendedahan berdasarkan ia jarang diperolehi di negara ini,” katanya.

Pameran yang berlangsung mulai 26 Jun itu akan berakhir kira-kira sebulan dengan hasil karya dijual di antara RM600 hingga RM5,000.

Friday, January 4, 2019

Intim dalam arus naturalisme

ISTERI dan anak-anaknya menjadi model bagi pelukis Zi Jian untuk siri lukisannya yang bertemakan Ibu dan Anak Perempuan.
PLOUGHING Spring merupakan salah satu lukisan yang diperagakan pada pameran seni lukis Zi Jian yang berjudul Kemanusiaan dan Kasih Sayang.
RASA kasih sayang dan tanggungjawab jelas terserlah bagi pasangan kakak dan adik ini dalam karyanya yang berjudul Eating.
ATAS: LIRIKAN manja gadis ini yang terakam dalam Quiet Brook menjadi salah satu tarikan karya Zi Jian.
KIRI: SENTUHAN seni Zi Jian cukup romantis bagi menggambarkan suasana kampung di negara China seperti karyanya ini yang berjudul Tortous Mountain Road.


Oleh AMIRUDDIN HARUN

BANYAK pameran lukisan kebelakangan ini memaparkan kerja-kerja seni daripada aliran abstrak, impressionisme, surealisme dan abstrak impressionis. Pameran Yusof Ghani, Jalaini Abu Hassan, Elias Mohd. dan Zulkifli Yusoff mengetengahkan aliran sebegini.

Maka, apabila pameran lukisan aliran naturalisme diadakan, peminat dan khalayak seni akan terpegun dengan keindahan objek yang dikisahkan. Pemaparan objek yang jelas dan warna yang berkeperibadian mutlak mendorong rasa kagum kepada pengkaryanya.

Rasa seni yang menusuk ini jelas dapat dirasai apabila mengunjungi pameran seni lukis karya pelukis China, Li Zi Jian. Pameran solonya yang bertemakan Kemanusiaan dan Kasih Sayang cukup untuk membuktikan kekuatan seni lukis naturalisme.

Diamati karya potretnya menerusi pelbagai siri seperti Negara Asal, Tibet, Ibu dan Anak Perempuan dan Yang Tiada Tempat Tinggal serta karya bersejarah iaitu lukisan Pembunuhan Beramai-ramai di Nan-jing, sentuhan seni Zi Jian jelas terserlah.

Karyanya memperlihatkan kesempurnaan naturalisme melampaui batasan kenegaraan dan kebudayaan. Melalui lukisan, lontaran ideanya diketengahkan dan mengundang kefahaman semua manusia.

Subjek yang disentuhinya seperti kasih sayang ibu dan anak, kakak dan adik dan keakraban dua generasi yang berbeza bukanlah sesuatu yang baru dalam naturalisme. Namun, lewat karya-karyanya terserlah keintiman sifat-sifat manusia dalam hubungan antara satu sama lain.

Ini dapat dikesani betapa eratnya dakapan ibu terdapat bayinya dalam Dream of Life, suapan penuh kasih sayang (Eating), nenek yang penuh tanggungjawab mendukung cucunya (Ploughing Spring) dan lirikan manja si gadis (Quiet Brook).

Kesemuanya ini melambangkan keprihatinan Zi Jian terhadap aspek kemanusiaan dan kasih sayang. Ketika modernisme mendominasi senario seni lukis, tradisi seni lukis potret seperti yang dihasilkan oleh Zi Jian memberikan pemahaman yang lebih jelas kepada penggemar seni lukis di seluruh dunia.

Gaya lukisannya seakan-akan meniru pekerjaan sebuah kamera. Dia merakam dengan tepat dan penuh jiwa terhadap subjek yang dipilih. Hasilnya satu lukisan yang bernyawa diperolehi.

Meskipun dia turut merakamkan kerenah orang Barat dikanvas lukisan, namun lukisannya yang memaparkan persekitaran di negara asalnya cukup mempesonakan. Agaknya pengalaman hidup ketika di sebuah bandar kecil Shaoyang, Wilayah Hunan, China memperkayakan ilham seninya.

Pengalaman ini diperolehi sejak kecil lagi apabila dia telah menjadi mangsa kepada dasar sosial dan ekonomi yang diamalkan oleh negaranya. Dia menyaksikan sendiri penderitaan dalam kehidupan keluarganya.

Bapanya sendiri dipenjarakan pada 1957 ketika dia berusia tiga tahun. Dalam usia remaja pula dia terpaksa bekerja sebagai pekerja biasa di sebuah kilang mekanikal.

Sehinggalah pada 1978, selepas pemulihan sistem pembelajaran tinggi di negara itu, dia memulakan pendidikan seni dalam bidang cat minyak di Akademi Seni Halus, Guangzhou. Empat tahun kemudian dia menamatkan pendidikannya dan menjadi pelukis profesional di Galeri Seni Changsha.

Sejak itu lukisannya mula diberi perhatian dan dipamerkan di Shanghai, Jepun, Jerman dan Kanada. Akhirnya pada 1988 dia berhijrah ke Los Angeles, Amerika Syarikat untuk melajutkan pelajaran dalam bidang seni lukis. Turut sama ialah isterinya yang juga merupakan seorang pemuisi, Dan Hui.

Dengan bertemakan Kemanusiaan dan Kasih Sayang dia memulakan pameran antarabangsanya pada 1994 di Pusat Pameran Kebudayaan Dunia, Berlin, Jerman. Ini diikuti dengan pameran yang sama di Perancis, London dan negara-negara Eropah yang lain.

Tahun berikutnya, dia memulakan kembara pamerannya sekeliling dunia dengan Taiwan menjadi negara pertama yang disinggahinya. Pameran ini dijangka diteruskan sehingga tahun hadapan.

Pamerannya di Malaysia diadakan sehingga 10 Jun lalu di Galeri Petronas, Bangunan Dayabumi, Kuala Lumpur. Selepas ini pamerannya akan diteruskan di Singapura, Thailand, Australia, Afrika Selatan, Brazil, Argentina, New York dan Kanada.

Thursday, January 3, 2019

Tema sukan jadi pilihan Hasnee

INI DIA... Hasnee menunjukkan dua karya terbarunya.


LUKISAN menggambarkan aktiviti sukan kurang mendapat perhatian pelukis tempatan. Jika Amerika Syarikat boleh berbangga dengan Le Roy Neiman yang banyak menghasilkan karya bertemakan sukan, tidak ramai pelukis kita yang serius dalam bidang ini.


Bagaimanapun, dalam kegersangan ini ada beberapa karyawan mula berjinak untuk mendekati lukisan bertemakan sukan seperti Hasnee Abdul Rahman, 32, pelukis kelahiran Kajang, Selangor, yang kini menetap di Taman Melawati, Ulu Klang.

“Saya bukan setakat mahu mengambil kesempatan daripada kurangnya tumpuan pelukis tempatan dalam bidang ini, malah ia memang lahir daripada jiwa saya sendiri disebabkan saya juga ahli sukan yang masih aktif,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Beliau mula melukis sejak di bangku sekolah dan kemudian melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (ITM), Shah Alam sebelum memperoleh Diploma Pengurusan Ladang. Pada mulanya, karya beliau lebih tertumpu kepada pemandangan menggunakan cat air dan minyak.

Bagaimanapun, minatnya mula beralih kepada lukisan bertemakan sukan kerana jiwanya lebih mudah berinteraksi dengan sebarang kegiatan sukan. Malah, sambutan orang ramai terhadap hasil karyanya juga lebih menggalakkan.

Oleh itu, Hasnee secara serius menumpukan sepenuh perhatian kepada lukisan bertemakan sukan sejak dua tahun lalu dengan tumpuan kepada sukan golf, polo, bola sepak, ragbi, lumba basikal dan sukan berkuda.

“Saya meletakkan sasaran Sukan Komanwel tidak lama lagi untuk menghasilkan lebih banyak karya membabitkan semua jenis sukan yang dipertandingkan dan pada masa yang sama mempertahankan mutunya,” katanya.

Ketika ini, karyanya dijual hanya di antara RM100 sehingga RM3,000 dan bergantung kepada saiz dan jenis bingkai yang digunakan.

“Sebagai pelukis baru, saya belum boleh meletakkan harga yang tinggi, malah saya masih perlu belajar untuk meningkatkan mutu karya saya,” katanya – Mokhtar Alias.

Tuesday, January 1, 2019

Pasaran hasil seni luas di kelab elit

TERPIKAT... Hamid Omar melihat pameran di Bukit Unggul Country Golf Club.
PELUKIS dan pemilik galeri seni perlu bersepakat membawa hasil karya tempatan ke kelab elit, khususnya kelab golf yang banyak wujud di negara ini kerana ia menyediakan ruang pasaran amat luas.


Ini kerana pengunjung kelab berkenaan adalah golongan kaya dan ahli korporat. Kebanyakan mereka tidak mempunyai masa untuk mengunjungi galeri atau pameran lukisan, sebaliknya masa terluang mereka habiskan di kelab golf.

Menyedari hakikat itu, Bukit Unggul Country Golf Club Resort dekat Bangi, Selangor, mengundang galeri seni Pelita Hati untuk mengadakan pameran seni lukis tempatan di kelab itu, baru-baru ini.

Sebelum ini, jarang kelab golf mengadakan pameran seni lukis dan kelab berkenaan adalah perintis dalam usaha mendekatkan golongan kaya dan ahli korporat dengan seni lukis, khususnya yang dihasilkan oleh pelukis tempatan.

Lebih 30 karya dipamerkan di kelab itu, termasuk gabungan pelukis lama dan baru seperti Ismail Latif, Awang Damit Ahmad, Siti Jamila Samirin, Chan Thim Choy, Tee Kok Huay, Lee Weng Fatt, Tan Bee Ping, Lee Han Huei, Annuar Dan, Alex Ong, Din Omar, Hadi Salleh, Azman Hilmi, Chuah Chong Yong, Shia Yih Ying, Hasni Abdul Rahman, Lee Weng Fatt dan Yau Bee Ling.

Karya mereka memaparkan pelbagai gambaran daripada lukisan pemandangan, bunga-bungaan, malah ada yang berminat melukis kegiatan golf dan ekuestrian. Harga paling rendah dijual sekitar RM600.

Pengerusi Bukit Unggul Golf Country Club Resort, Tun Hamid Omar, berkata pihaknya mengutip 10 peratus daripada hasil karya terjual untuk diserahkan kepada kelab.

Menurutnya, semua wang kutipan ini pula akan diserahkan untuk tabung Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM). Ini secara tidak langsung, mereka yang membeli lukisan ini beramal untuk badan kebajikan.

Pengarah Pelita Hati, Tengku Eli Aziddin, berkata sambutan yang diterima cukup menggalakkan apabila kira-kira separuh lukisan yang dipamerkan dijual pada hari pertama pameran. – Mokhtar Alias



Kemala: Penyair pemikir sosial

SABTU, 20 JANUARI 1996

KAGUM... Samad (tengah) diiringi Kemala (kanan) dan Aziz ketika melawat
pameran Kemala di DBP, Khamis lalu.
Oleh Jamudin Idris

ADA orang menyatakan penulis sepatutnya mahir dalam banyak genre tetapi tidak kurang yang berpendapat lebih baik satu bidang saja. Dengan cara itu, penulis akan lebih matang dalam bidang yang diperjuangkannya. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), sebagai contohnya, tidak pernah tergelincir daripada dunia puisi yang semakin menjadi darah dagingnya.


Sejak awal lagi, Kemala menjadi manusia berfikir - atau falsafi dalam karyanya. Kumpulan puisi Meditasi agak membinggungkan untuk pembaca memahaminya, mengapa dalam usia yang begitu muda, Kemala sudah berfikir begitu tua.

Sasterawan Negara A Samad Said berkata, kumpulan puisi Ayn dan Pelabuhan Putih lebih mengharukannya, kerana beliau sendiri tidak terfikir untuk menulis puisi sedemikian.

“Sementara saya mencari makna sufis dari balik tiang Masjid Negara, Kemala mengejutkannya dengan antologi terbaru Titir Zikir,” kata Samad ketika merasmikan pameran Kemala: Tiga Dekad Bersama DBP di Balai Keris Mas, Khamis lalu.

Samad berkata, berdasarkan empat daripada tujuh antologi Kemala jelas membuktikan penyair itu banyak bercakap mengenai kehidupan, kematian, keghaiban, kehadiran serta kehilangan. Kehilangan lebih menusuknya kerana kehilangan biasanya menuntut jawapan, sedangkan jawapan tidak mungkin tepat.

Kemala sebenarnya diasuh untuk menjadi insan birokrat - dan memang itulah selama lebih 28 tahun berkhidmat dengan DBP. Daripada tanggungjawab menangani pelbagai majalah seni, dia turut menjadi wakil seniman ke luar negara. Dari duduk berjerih di meja pejabat, beliau sempat memimpin dan memperkuatkan persatuan penulis.

Kemala menjadi insan seni yang dideritakan oleh tuntutan birokrat dan menjadi birokrat yang disindir seninya. Selama 28 tahun, beliau berada dalam dilema dan selepas melalui alam persaraan, diharap banyak cita-cita dan harapannya akan terlaksana.

Samad berkata, pameran yang diadakan ini sebenarnya bukan menandakan penghormatan sebelum bersara tetapi ia adalah satu penemuan dan kesedaran, seorang petugas institusi selama ini mungkin terlupa diperiksa kebolehan dan sumbangannya.

Mereka menyusun jambangan bunga dan meletakkannya di tengah dewan khazanah sastera dan semua orang akan tercium bau harumnya juga, kerana jambangan itu satu kerja seni.

“Disebabkan itu, saya harap Kemala akan tetap selalu ke sini, mengadakan pameran lukisan sebaik terhimpun karya yang munasabah, mendeklamasikan puisi sebaik tercipta sajak baru, dan bertengkar seni sesama ilmuan dalam forum atau seminar,” katanya.

Ketua Pengarah DBP, A Aziz Deraman pula berkata, sumbangan abadi Kemala terhadap DBP selama hampir tiga dekad, tidak dapat dinilai dengan wang ringgit dan sewajarnya dicatatkan dengan tinta emas dalam lipatan sejarah kesusasteraan Malaysia.

Beliau terbabit secara langsung dalam usaha memasyarakatkan puisi Malaysia kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa. Beliau mempelopori usaha mengadakan siri Pengucapan Puisi Kuala Lumpur, acara baca naskhah, baca puisi dan cerpen, penubuhan Persatuan Kesusasteraan Bandingan dan bergerak aktif memperjuangkan pembentukan Bahagian Kesusasteraan Bandingan.

Pembentukan Bahagian Kesusasteraan Bandingan diharap dapat mempercepatkan usaha mengantarabangsakan kesusasteraan Malaysia sebagai warga sastera dunia dan pengiktirafan yang wajar dan bermartabat terhadap hasil kesusasteraan tempatan.

Aziz berkata, DBP merancang usaha mengadakan siri pameran di DBP sebagai tradisi dan amalan bagi menghargai sumbangan karyawan, seniman, sasterawan, pelukis dan editor yang ada di DBP.

Usaha dan tradisi mengenang jasa karyawan dan sasterawan seperti yang diadakan untuk Kemala itu seharusnya menjadi contoh kepada bahagian, jabatan dan badan korporat lain sebagai menghargai kakitangan mereka yang menjadi penulis, sasterawan atau karyawan kreatif yang produktif dan yang semakin kecil audiennya.

Pameran mengenai Kemala akan berlangsung selama dua minggu dan majlis diskusi antologi puisinya Titir Zikir akan diadakan hari ini.

Sharmiza abadi kenangan manis

UNIK.... Sharmiza menunjukkan karyanya, Perjalanan Pelukis yang bernilai RM4,700.

MELIHAT karyanya secara spontan, kita akan terfikir mengapa pelukis muda berbakat besar itu memilih imej gerabak, landasan kereta api dan terowong sebagai motif utama dalam hasil karyanya.

Sharmiza Abu Hassan, 24, menjadikan ketiga-tiga imej itu sebagai metafora dalam setiap hasil karyanya kerana sering teringat kampung halaman dan kenangan manis yang pernah ditempuhi ketika bersama datuk serta nenek.

Oleh kerana terlalu merindui kampung halamannya di Taiping, Perak, beliau mengabadikan kenangan manis itu di dalam setiap hasil karya ciptaannya.

Bidang seni arca yang sebahagian besar dipelopori golongan lelaki menarik perhatian Sharmiza untuk mencetuskan peristiwa dan detik-detik bersejarah dalam kehidupannya pada karyanya.

Jika diperhatikan, setiap hasil karya Sharmiza kelihatan usang kerana beliau menggunakan media petina, besi, tembaga dan kayu. Petina adalah sejenis asid yang akan bertindak balas dengan tembaga, besi dan kayu dan menjadikan ketiga-tiga bahan itu kelihatan usang.

“Walaupun karya saya nampak seperti sudah usang, ia sebenarnya begitu unik dan adalah sebahagian daripada himpunan seni kontemporari yang mula diminati generasi masa kini,” katanya.

Karya terbaru beliau bertajuk Perjalanan Pelukis dan bernilai RM4,700 terpilih untuk menyertai pertandingan Philip Morris di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Perjalanan Pelukis adalah karya seni arca terbesar pernah dihasilkan oleh Sharmiza yang kini tinggal di Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Kuala Lumpur dan mempunyai seorang cahaya mata.

“Karya saya ini turut menggunakan imej landasan kereta api dan mempunyai kaitan mengenai kehidupan saya pada masa lampau dan akan datang kerana saya sendiri masih mencari hala tuju sebenar dalam mengharungi kehidupan yang penuh misteri dan rintangan,” katanya.

Sharmiza yang mempunyai Diploma Seni Halus daripada Institut Teknologi Mara (ITM) Shah Alam berhasrat mengadakan pameran solo pertama tahun depan.

Beliau pernah menyertai pameran seni arca kontemporari di Balai Seni Lukis Negara, Pameran Islam Sezaman, The Young One’s, Lembaran ‘95 dan ‘Japanese Woodblock Print’ di Pusat Kebudayaan Jepun, Kuala Lumpur.

Hasil karya Sharmiza menjadi koleksi galeri Kajian Seni Lukis dan Seni Reka ITM, Kedutaan Australia, Petronas dan Keretapi Tanah Melayu Berhad dan orang perseorangan. – Raihanah Abdullah

Insan kreatif

19 MEI 1996

TELITI... melukis memang kelihatan mudah tetapi untuk
menghasilkan yang terbaik Charles Low, 40, menggunakan
kanta bagi melukis potret yang ditempah pelanggan.
- Gambar SYAMSI SUHAIMI

Bunga, ikan pilihan Edwin

BANGGA... Edwin di samping lukisannya bertajuk Lovely Dozen
(kiri) dan After A Heavy Rain.

KEINDAHAN alam semula jadi, khususnya flora dan fauna menjadi sumber ilham dan inspirasi kepada pelukis dari Melaka, Edwin Ho yang sudah bergiat dalam bidang itu sejak 30 tahun lalu.


Bekas guru lukisan yang gemar menggunakan gabungan pelbagai warna dalam hasil karyanya itu, sering menjadikan bunga dan ikan sebagai motif dalam lukisannya bagi mencerminkan kepekaannya terhadap alam sekitar.

Edwin lebih cenderung menggunakan akrilik pada kertas kanji dan kanvas kerana berpendapat lukisan yang dihasilkan daripada bahan berkenaan lebih unik dan menunjukkan ketelitian pelukis.

Walaupun beliau sudah lama membabitkan diri dalam bidang lukisan, hanya kira-kira lima tahun lalu beliau baru aktif menghasilkan lukisan berkonsepkan keindahan alam semula jadi.

Dalam menghasilkan karya, Edwin bijak menggunakan gabungan warna sehingga menjadikan setiap hasil lukisannya hidup, terutama pada karya berdasarkan pemandangan.

Baru-baru ini, beliau mengadakan pameran solo ketiga bertajuk ‘Presence Of Delight’ di sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur. Sejumlah 30 lukisannya dipamerkan selama tiga minggu.

“Walaupun lukisan cat air dan cat minyak sering kita temui, teknik warna dan cahaya yang dihasilkan daripada lukisan menggunakan bahan itu dapat menarik minat pencinta seni tanah air,” katanya.

Sebahagian besar lukisan Edwin dipasarkan kepada galeri, orang perseorangan, syarikat tertentu dan pengumpul lukisan. – Raihanah Abdullah

Keagungan Islam melalui karya seni

UNIK... Sharmiza menunjukkan hasil karyanya, ‘Saat-Saat Kebenaran’.

KEAGUNGAN Islam tidak semestinya ditunjukkan dengan pengucapan kata-kata atau penulisan saja, sebaliknya ia dapat boleh disalurkan melalui penghasilan pelbagai karya seni seperti lukisan, arca, seni khat dan ukiran.

Inilah yang dibuktikan oleh pelukis tempatan dan luar negara dalam pameran seni lukis bertajuk Pengucapan Islam Dalam Kesenian yang diadakan di Galeri Petronas mulai 12 Januari lalu.

Pameran yang dikelolakan Jawatankuasa Penghayatan Seni Islam, Kajian Seni Lukis dan Seni Reka Institut Teknologi Mara (ITM) itu, dirasmikan oleh isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Wan Azizah Ismail, baru-baru ini.

Apa yang menarik, pameran yang berlangsung sepanjang Ramadan itu adalah gabungan himpunan karya pelukis ternama dan pelukis muda melalui lukisan, khat, tekstil, seramik, arca dan ukiran.

Sejumlah 70 karya seni Islam sezaman oleh pelukis seperti Harun Abdullah Coombes, Ramlan Abdullah, Romli Mahmud, Sharmiza Abu Hassan, Yusaslinda Mohd Yunus, Radzuan Radziwill, Roskang Jalani, Kathy Koop dan Abdul Rahim Jalil, dipamerkan.

Karya itu termasuk ‘Monumen Hijau’ oleh Ramlan Abdullah yang berupa seni arca susunan lebih 70 bingkai kaca di atas besi cerucuk yang menggambarkan perlakuan umat Islam di dunia.

Karya seni lain termasuk ukiran seramik yang menggabungkan kubah masjid dengan hiasan tasbih dengan lambang Allah dan Muhammad bertajuk ‘Layani Wanita itu Dengan Sebaik-baiknya’ karya Kathy Koop.

Sharmiza Abu Hassan pula mempamerkan ukiran besi bermotifkan landasan kereta api bertajuk ‘Saat-Saat Kebenaran’ yang bermaksud mengimbau kenangan masa lalu beruapaya menyedarkan kita akan tugas sebagai umat Islam yang sebenarnya.

Menurutnya, saat-saat seperti itu amat berharga kerana ia membolehkan umat Islam yang melakukan kesalahan masa silam, menyedarinya dan segera bertaubat.

“Kerana itulah, saya menggunakan motif kereta api dan landasannya sebagai objek asas kerana kaitannya dengan perjalanan hidup manusia dan kereta api juga sering berulang-alik dari sesuatu destinasi ke destinasi.,” katanya. – Nurul Adlina Kamaludin

Gandingan seni dua generasi

PELBAGAI... satu sudut Galeri Pelita Hati yang menempatkan
lukisan cat minyak dan arca.
HIMPUNAN karya yang dihasilkan daripada sentuhan pelukis ternama, diselang-seli dengan karya pelukis muda sering menjadi penyeri galeri seni, mahupun setiap pameran lukisan yang diadakan.


Hal ini tidak terkecuali bagi Pelita Hati Gallery of Art yang menyedari bahawa gabungan dua generasi itu amat perlu dalam meneruskan kesinambungan seni berkenaan.

Banglo lama di Nombor 3, Persiaran Titiwangsa, Kuala Lumpur, yang diubahsuai menjadi galeri seni itu menjadi tumpuan peminat seni lukis, terutama lukisan kontemporari tanah air.

Dengan mempamerkan lukisan cat minyak, arca dan ukiran, galeri berkenaan berusaha menarik pelbagai golongan untuk mendekati karya itu. Karya berkenaan dijual dengan harga di antara RM50 hingga RM25,000.

“Harga karya seni bergantung kepada banyak faktor, termasuk siapa yang berkarya, saiz dan kerumitan menghasilkan karya itu,” kata Pengarah Pelita Hati Gallery of Art, Tengku Eli Aziddin.

Antara pelukis ternama yang turut menempatkan karya dalam galeri berkenaan, termasuk Sharifah Fatimah Zubir dengan karyanya, Mindscape, dijual dengan harga RM17,000.

Ismail Latif pula dengan karyanya Lembah Seribu Malam, Gunung Awan Kayangan dan Puncak Buluh Perindu... Biru Sayang Kumbang, masing-masing dijual dengan harga RM2,800.

Ahmad Puad Omar dengan Nightmare Series berharga RM3,500. Keris Dua Pasang dan Keris Anak Ayam karya Din Omar masing-masing bernilai RM3,000. Chuah Chong Yoh dengan siri Renungan Gunung Inas berharga RM3,200.

Karyawan lain yang turut mempamerkan hasil seni mereka disitu untuk dijual ialah Hoe Say Yong, Ismail Mat Hussein, Johan Marjunid, Zheng Yuande dan Awang Damit Ahmad. Karya pelukis luar juga turut dipamerkan untuk jualan.

Sejak dibuka pada Julai 1995, Pelita Hati sudah menganjurkan tiga pameran terbesar artis tempatan. Kini, ia merancang pelbagai pameran untuk dijayakan pada 1996 seperti pameran solo Raja Shahriman Aziddin; pelukis Sarawak, Kelvin Chap dan Suzy Wong dari Singapura.