iklan

Tuesday, December 25, 2018

Rechel rakam pengalaman dalam lukisan

RASA HATI...Rechel bersama dua lukisan minyak yang dipamerkan.
Oleh Laila Halilah Nasir


PENGEMBARAAN dan perjalanan dari satu tempat ke tempat lain adalah suatu pengalaman menyeronokkan, dan sepatutnya dikongsi bersama. Namun, bagaimana seseorang itu melahirkan pengalamannya supaya dapat diamati sememangnya berbeza.


Bagi Rechel Lebenas, nama yang tidak asing lagi di kalangan peminat lukisan minyak, semua pengalaman terutama yang berkaitan kehidupan dan wanita, diluahkan di atas sehelai kertas putih hingga menjadi lukisan abstrak menarik.

Rechel memang dikenali oleh peminatnya sebagai seorang pelukis dan pelakon yang banyak melakukan pengembaraan dan menjelajah ke merata dunia, sama ada untuk melancong atau mengadakan pameran lukisan solonya. Namun tidak ramai yang mengetahui bagaimana beliau berjaya mencurahkan pengalaman di atas kertas lukisan yang menjadi rebutan ribuan peminat lukisan minyak.

Beliau yang berasal dari Buenos Aires, Argentina, berjaya menampilkan konsep keseimbangan harmoni di antara kehidupan dan seni secara artistik di sepanjang kerjayanya yang menjangkau 30 tahun sebagai pelukis lukisan minyak.

Luahan seni yang ditonjolkan melalui setiap karyanya melambangkan sifat beliau yang sensitif sebagai wanita. Baginya wanita adalah insan yang lembut, manja, memberahikan tetapi sering menjadi mangsa kekecewaan dan merana.

"Itulah hakikat yang sering dialami oleh banyak wanita di seluruh dunia dan perjuangan untuk mengimbangkan antara keharmonian kehidupan dan hak wanita perlu diluahkan untuk tatapan dan kesedaran semua.

"Saya mengenali lukisan, berus dan akrilik sejak kecil. Pembabitan saya di bidang ini bermula ketika saya sudah pandai menconteng dinding dan tembok di rumah.

"Bermula dari situ, saya ingin menceritakan segala apa yang saya lihat dan dengar melalui lukisan yang menarik terutamanya yang menyentuh kehidupan wanita dan kemanusiaan," katanya ketika di temui selepas majlis perasmian pameran lukisan solonya yang bertajuk 'The Mantle of Miracles 1994', yang diadakan di Hotel Istana, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut beliau, semua lukisan yang dihasilkan menggunakan konsep harmoni dan sejagat serta menggunakan akrilik dengan pelbagai warna kehidupan yang melambangkan kesegaran. Semuanya lahir secara spontan.

"Jika dilihat daripada semua lukisan yang saya pamerkan di sini, hampir kesemuanya mengetengahkan wanita sebagai watak utama. Ini kerana saya seorang wanita dan memahami jiwa wanita. Saya juga beranggapan wanita adalah suatu yang indah, menarik tetapi amat sensitif," katanya.

Menyentuh mengenai pameran solo karyanya yang diadakan buat julung kali di negara ini, beliau berkata idea itu timbul selepas beliau membuat lawatan dan mengadakan pameran di India.

"Banyak lukisan saya menggambarkan kehidupan, penderitaan dan cara hidup masyarakat wanita India. Lukisan yang saya pamerkan ini, saya ilhamkan ketika saya berada di negara itu, pada 1987 dan 1990.

"Setiap karya yang saya hasilkan menyentuh hubungan yang erat di antara rakyat kedua-dua negara, India dan Argentina," katanya.

Katanya, pertama kali beliau menjejakkan kaki ke India ialah pada 1987, sewaktu diundang untuk mengadakan pameran di Galeri Azan Ghazan iaitu sebuah galeri lukisan terkenal di sana.

Pada 1990, beliau sekali lagi ke India untuk mengadakan pameran berasaskan karya Martin Fierro yang diterjemahkan ke versi Hindi. Pada tahun 1993, beliau diundang sekali lagi oleh Pusat Peringatan Ghandi di Washington, Kedutaan Argentina dan India untuk menganjurkan secara bersama Pameran 'The Mantle of Miracles - 1993' dan hingga tahun ini, pameran itu diteruskan ke negara Asia.

Sejak membabitkan diri secara profesional di bidang seni lukis ini. Rechel sudah menghasilkan 47 karya yang dijual pada harga di antara RM1,000 hingga RM5,000.
Kini lukisan Rechel dikenali di seluruh dunia dan beliau pernah mengadakan pameran bersama pelukis terkenal dunia seperti Picasso, Miro, Chagall dan Dali pada 1978. Beliau juga mengadakan lebih 54 pameran di Greek, Timur Tengah, Amerika Latin, Eropah, Beijing dan New Delhi.

Rechel menghabiskan masa 10 hari di ibu kota untuk bersama peminat lukisan minyak seluruh negara dan berkongsi pengalaman dengan menyaksikan pameran lebih 40 lukisan ciptaannya yang diadakan sejak 29 September lalu.

"Sayang saya tidak dapat berada lebih lama di Malaysia. Banyak tempat yang ingin saya lawati tetapi tidak berkesempatan. Ingin saya mengabadikan pengalaman dan kehidupan wanita Malaysia dalam sebuah lukisan untuk dipamerkan ke seluruh dunia.

"Malaysia sebuah negara yang unik, pasti banyak perkara atau sentuhan menarik yang mampu saya lahirkan dalam lukisan saya," katanya mengakhiri pertemuan.

No comments:

Post a Comment