iklan

Thursday, January 10, 2019

272 sertai Anugerah Seni Lukis Philip Morris

BERITA MINGGU, Sastera dan Budaya, AHAD, 11 JULAI 1999

UNIK... Pegawai Perhubungan Awam Balai Seni Lukis Negara, Hashimah Nyok menunjukkan antara lukisan karya pelukis tempatan yang dipertandingkan.
Oleh JAMUDIN IDRIS

BALAI Seni Lukis Negara menerima 272 penyertaan untuk pertandingan lukisan yang paling berprestij di Asia Tenggara, Anugerah Seni Lukis Asean Philip Morris Malaysia–Asean, apabila tarikh tutup penyertaan pada 10 Jun lalu.

Berdasarkan penyertaan itu, menunjukkan pertandingan ini semakin mendapat perhatian ramai. Tahun lalu ia menerima 250 penyertaan berbanding 1997 sejumlah 217 penyertaan.

Bagi tahun ini, selepas ditapis hanya 74 lukisan layak dipamerkan dan 22 pengkarya akan menerima sijil penghargaan dan lima pemenang untuk peringkat Malaysia.

Empat panel menilai karya pelukis Malaysia. Mereka ialah Naib Presiden Institut Seni Lukis Malaysia (MIA), Choong Kaw Kaw yang juga Ketua Juri; pensyarah seni dari Institut Teknologi Mara, Awang Damit Ahmad; bekas pensyarah seni, Joseph Tan dan Ketua Fakulti Seni Gunaan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Hasnul Jamal Saidun. Zanita Anuar bertindak sebagai urusetia dari Balai Seni Lukis Negara.

Perasmian pameran Anugerah Seni Lukis Malaysia – Asean 1999 akan diadakan pada 13 Julai ini dan akan dilakukan Timbalan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Teng Gaik Kwan.

Pameran itu akan berlangsung sehingga 1 Ogos dan pada 17 Julai diadakan sesi dailog panel hakim dengan pemenang.

Pemenang peringkat negara akan menerima RM12,500. Mereka akan bertanding pada peringkat Asean dan kali ini akan diadakan di Kuala Lumpur.

Majlis penganugerahan serantau dijangka diadakan pada 3 November. Ia dijangka disertai pelukis dari sembilan negara Asean.

Empat asas utama diambilkira panel penilai iaitu penggunaan bahan tara kreatif, pemerasan dan teknik, keaslian persepsi seni dan cara tafsir serta kaitan dengan kesedaran Asia atau isu kehidupan Asia.

Pemenang peringkat negara akan bertanding pada peringkat Asean untuk merebut hadiah wang tunai yang keseluruhannya ditawarkan bernilai RM570,000 termasuk hadiah utama RM38,000 dan empat hadiah pilihan juri sebanyak RM19,000 setiap satu.

Tahun lalu, pelukis Malaysia Kow Leong Kiang memenangi hadiah utama dengan lukisannya bertajuk Mr Foreign Speculator, Stop Damaging Our Country! Pertandingan diadakan di Hanoi, Vietnam.

IMUDA lucu di pentas, pendiam di rumah

AHAD, 26 JULAI 1998

ROZALINA... beberapa bulan selepas berkenalan, baru dia mengetahui Imuda adalah pelakon dan pelawak.

TOLAK ANSUR... Rozalina faham kerjaya Imuda.

HARMONI... Imuda bahagia bersama isteri dan anak perempuan.


Oleh RAIHANAH ABDULLAH
Gambar RAMDZAN MASIAM



NAMA Abdul Rahim Muda atau lebih dikenali sebagai Imuda tidak asing kepada sebahagian besar masyarakat negara ini kerana gelagat lucu dan bersahaja beliau dalam sitcom 2+1 dan Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Bagaimanapun, anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu begitu asing kepada isterinya, Rozalina Rosli dan keluarganya di Seremban, Negeri Sembilan.

Ini kerana, Rozalina dan keluarga tidak pernah menonton sitcom lakonan Imuda.

Apatah lagi, Rozalina, 35, menghabiskan masa kira-kira lima tahun di Amerika Syarikat menuntut ilmu di bidang perakaunan.

Kali pertama diperkenalkan kepada Imuda oleh seorang rakan, Rozalina, tidak pernah menyangka Imuda sering menjadi perhatian ramai kerana telatah lucunya ketika berlakon.

Menurut Rozalina, hanya beberapa bulan selepas berkenalan, dia mengetahui bahawa Imuda adalah seorang pelakon dan pelawak tanah air yang begitu dikenali ramai.

“Ketika Im memberitahu bahawa dia adalah pelakon dan pelawak, saya terkejut kerana sikapnya yang sering merendah diri, tidak riak mahupun perasan biarpun sudah popular.

“Selepas berkawan kira-kira setahun, Im menyatakan hasrat hatinya untuk menemui keluarga saya di Seremban. Ibu bapa saya tidak pernah menonton lakonan Im dan mereka juga tidak mengenalinya dan agak terkejut apabila mengetahui saya berkawan dengannya.

“Bagaimanapun, selepas mendapat restu keluarga, kami mengambil keputusan untuk berkahwin pada November 1994,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata Raehanna, dua setengah tahun.

Apakah pandangan beliau terhadap Imuda? Menurut Rozalina, Imuda mempunyai personaliti berbeza ketika di rumah dan amat berlainan ketika berdepan dengan lensa kamera.

“Di rumah, Im adalah seorang yang pendiam, penyabar dan sukar hendak lihat dia marah. Bagaimanapun, Im peramah jika kita sudah lama mengenalinya dan sesekali turut berlawak,” katanya.

Beliau yang menyandang jawatan tinggi di sebuah syarikat terkemuka ini bagaimanapun tidak pernah membezakan kelebihan dimiliki, khususnya di bidang pelajaran.

“Bagi saya, segulung ijazah tidak semestinya menunjukkan kita sudah pandai atau serba boleh, malah bagi saya Im lebih cerdik daripada saya kerana dia berbakat dalam pelbagai bidang.

“Dalam sesebuah rumah tangga, kita tidak boleh jadikan ijazah atau latar belakang pendidikan sebagai pertandingan. Malah, saya tidak sekali-kali mahu menjadikannya sebagai ukuran dalam rumah tangga kami.

“Im jauh berbakat dan serba boleh berbanding saya. Terus terang saya katakan, pendapatan beliau juga lebih tinggi daripada saya walaupun saya berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

“Pada saya, Im juga pandai tetapi dia tidak berpeluang melanjutkan pelajaran, mungkin kerana kesempitan hidup pada masa itu. Apa yang penting ialah tolak ansur, hormat menghormati dan faham memahami,” katanya merendah diri.

Menurut Rozalina, Imuda juga bertindak sebagai penasihat kepadanya dalam pelbagai aspek, terutama apabila terpaksa berdepan dengan pihak media dan orang ramai.

Apa pula perasaan Imuda ketika mengetahui Rozalina berpelajaran tinggi dan apakah yang menyebabkan beliau terus menjalin hubungan dengannya?

“Ketika mula berkenalan, kami seperti kawan biasa tetapi tidak lama selepas berkawan, saya dapat tahu dia berpelajaran tinggi. Pada mulanya saya berasa rendah diri tetapi jodoh kami kuat.

“Jika dia berpelajaran tinggi, saya juga ada bakat semula jadi. Setiap orang ada kelebihan dan kelemahan, begitu juga Nana dan saya. Apa yang penting perlu ada sikap tolak ansur suami isteri,” katanya.

Selain jodoh dan takdir Allah mempertemukan Imudan dan Rozalina, Imuda juga tertarik dengan tingkah laku dan kematangan isterinya itu yang disifatkan berfikiran terbuka.

Tambahan pula, menurut Imuda, keluarganya juga tidak menentang pilihannya walaupun mengetahui Rozalina berpendidikan tinggi dan berjawatan tetap.

Imuda yang kini memiliki syarikat pengiklanan di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, kira-kira tiga bulan lalu sibuk mengendalikan perniagaannya itu.

“Alhamdulillah, syarikat pengiklanan saya berjalan lancar walaupun dalam kegawatan ekonomi sekarang,” katanya yang gemar mengisi masa lapang membawa Raehanna bersiar-siar dan membeli-belah.

Imuda yang banyak menghabiskan masanya di rumah untuk melakar kartun dan melukis agak tegas dengan Raehanna.

“Hanna lebih manja dengan ibunya berbanding saya. Walaupun saya memberi sepenuh kasih sayang kepadanya, jika ada yang tidak betul, saya memberi nasihat.

“Ketika ini, masih terlalu awal untuk mengetahui kemahuan Hanna. Bagaimanapun, saya akan pastikan Hanna akan membuat sesuatu yang boleh mendatangkan faedah kepada dirinya apabila dewasa kelak.

“Saya akan memberi kebebasan kepadanya untuk memilih bidang diminati tetapi ia perlu dilakukan secara profesional dan memberi kebaikan dan manfaat kepada dirinya,”

Melukis ikut alunan muzik

HARIAN METRO, KHAMIS, 29 MAC 2001

TERJEMAH IDEA... Hamzah membuat lakaran mengikut alunan muzik.

Personaliti
Teks dan gambar Abdul Jalil Ishak



BERDASARKAN empat unsur kejadian manusia, pelukis solo berorientasikan konsep ‘seni untuk seni’, Hamzah Lasa, 41, menggunakan kombinasi unsur tanah, air, api dan angin sebagai pencetus idea dalam menggarap lukisan kontemporari.

Berbekalkan pengalaman melukis selama 15 tahun, pelukis kelahiran Raub, Pahang itu menggunakan genre alam semula jadi dalam menghasilkan karya catan realistik.

Bagi Hamzah, lukisan abstrak mempunyai mesej bermakna berbanding lukisan genre lain terutamanya secara intrinsik di samping meninggalkan impak mendalam dari segi keindahan.

“Menggunakan warna alam dalam karya saya, bererti tidak memisahkan dunia dengan alam kehidupan nyata. Meskipun hidup kita sentiasa dilambung ombak, namun perjuangan harus diteruskan,” katanya.

Pelukis berkenaan ditemui selepas mengadakan pameran solo di kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sempena persembahan Evomuzique, baru-baru ini.

Uniknya, Hamzah mencoretkan ideanya berdasarkan rentak muzik dimainkan penyanyi dalam persembahan selama dua jam di majlis berkenaan.

“Idea tercetus sepantas muzik dimainkan kumpulan muzik yang berada di pentas, tangan saya tetap bergerak pantas menterjemahkan setiap madah yang dialunkan penyanyi dan pemuzik terbabit.

“Begitulah dunia saya sebagai pelukis. Saya rasa puas dengan coretan begini. Semakin pantas alunan muzik yang dimainkan, semakin pantas pula jari-jemari saya mencoretkan kisah suka duka yang dialami dalam simponi lagu yang dialunkan,” katanya.

Menurutnya, tidak ramai pelukis yang sanggup menceburi genre muzik abstrak kerana takut hasil mereka tidak mendapat pengiktirafan peminat seni secara total.

Seni baginya tidak lebih daripada coretan garisan, bentuk, warna tekstur dan abstraksi idea yang terdampar di merata tempat dan medan.

Malah, bukan semua seniman dapat menjelmakannya dalam bentuk yang mudah difahami khalayak.

Justeru, setiap cubaan yang mahu memaparkan sesuatu ilham harus dianggap kejayaan yang perlu diberi penghargaan tinggi setiap orang. Inilah seni dalam erti kata yang luas dan mempunyai dimensi global.


“Idea tercetus
sepantas muzik
dimainkan
kumpulan muzik”


SENI... tarian dan muzik yang memberi ilham kepada Hamzah.

Perkampungan Seni Lukis manfaatkan karyawan

Sastera dan Budaya, RABU, 29 OKT 1997

SITI ZAINON... medan ilmu seni
Oleh Salbiah Ani


NAMPAKNYA kerajaan semakin menunjukkan kesungguhan untuk membantu masyarakat pelukis negara ini mendapat tempat yang lebih bermakna, peningkatan ekonomi dan apresiasi terhadap karya seni berkenaan.

Terbaru usaha ke arah membantu kelompok berkenaan ialah dengan pembentukan Perkampungan Seni Lukis di Kompleks Budaya Kraf Kuala Lumpur yang turut menjadi kunjungan pelancong.

Perkampungan berharga RM306,000 itu menempatkan sembilan galeri setiap satu bernilai RM50,000 dan 18 pelukis tempatan turut dilantik sebagai pelukis residen.

Selari dengan pembentukan perkampungan terbabit Tabung Amanah Perkampungan Pelukis turut dibentuk bagi melengkapkan lagi prasarana dan menggerakkan kegiatan yang diatur untuk perkampungan terbabit.

Sehubungan pembentukan perkampungan terbabit, Sastera dan Budaya mendapatkan pandangan dua pelukis profesional yang juga tenaga akademik berwibawa di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan mengenai perkara itu.

Pengarah Unit Kebudayaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Siti Zainon Ismail, menyarankan pemilihan pelukis bagi perkampungan berkenaan dipelbagaikan.

“Seandainya tumpuan hanya diberikan kepada pelukis cat air saja, tentu tidak adil kerana di kalangan pelukis sendiri ada beberapa kelompok seperti naturalis, surealis, ekspresionis dan dekoratif.

“Bagaimana pula dengan kelompok pengarca, pengukir dan pembatik kerana mereka juga adalah penggiat seni tampak yang tidak wajar diketepikan kerana sama-sama memberi sumbangan kepada persada seni tanah air,” katanya.

Saranannya bukan saja bertujuan melindungi kepentingan penggiat seni berkenaan tetapi juga bagi memenuhi citarasa pengumpul karya seni tampak yang turut berbagai-bagai.

Dr Siti Zainon berharap Perkampungan Seni Lukis itu bukan saja menjadi pusat berkarya tetapi juga medan perkembangan ilmu seni secara keseluruhan selain turut dimanfaatkan untuk dialog.

“Perkampungan berkenaan boleh dijadikan sebagai wadah untuk meningkatkan apresiasi seni lukis tanah air selain sekolah seni lukis yang berlangsung dalam bentuk natural,” katanya.

Tokoh pelukis tanah air seperti Latiff Mohidin dan Ibrahim Hussein umpamanya wajar dijemput untuk berwacana mengenai seni di perkampungan terbabit agar dapat dimanfaatkan oleh generasi muda seni lukis tanah air.

Menurutnya, perkampungan terbabit turut wajar mempamerkan karya terbaru kedua-dua tokoh seni lukis tanah air itu kerana hasil kerja mereka kini menjadi eksklusif sehingga tidak mungkin ditemui sekalipun di Balai Seni Lukis Negara.

“Saya berharap Perkampungan Seni Lukis mempunyai kurator seninya sendiri yang bertanggungjawab mengatur kegiatan seni agar berterusan dan memberi manfaat kepada masyarakat pelukis dan khalayaknya sekali,” katanya.

Malahan, pemilihan residen artis untuk perkampungan berkenaan juga sewajarnya dihadkan untuk tempoh tertentu agar lebih ramai pelukis turut dapat menikmati kemudahan prasarana yang dibentuk itu.

Pensyarah Kanan Seni Halus di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Institut Teknologi Mara (ITM), Awang Damit Ahmad, pula berpendapat pembentukan perkampungan terbabit mampu meningkatkan apresiasi terhadap karya seni lukis.

“Ramai pelukis yang memerlukan tempat sedemikian untuk membolehkan mereka mengembangkan bakat dan mendekatkan masyarakat dengan karya seni lukis tanah air,” katanya.

Peruntukan galeri seni lukis sebagaimana yang diamalkan di Pasar Seni, katanya, tidak banyak membantu pelukis tanah air kerana ia lebih bersifat komersil daripada mengangkat martabat seni lukis.

“Dengan adanya studio terbuka melalui penyediaan sembilan galeri diperkampungan itu akan dapat memberi pendedahan bermakna kepada pelukis yang terbabit dalam program berkenaan,” katanya.

Awang Damit yakin galeri yang diperuntukkan kepada pelukis sepenuh masa saja bertujuan memastikan kegiatan seni lukis berterusan kerana sasaran Kompleks Budaya Kraf Kuala Lumpur adalah pelancong.

Beliau mencadangkan jumlah galeri di perkampungan itu dipertingkatkan pada masa depan sebagaimana di Torpedo Art Centre di Washington, Amerika Syarikat, yang menempatkan lebih 100 galeri.

“Lebih banyak galeri lebih baik kerana ia akan menimbulkan persaingan di kalangan penggiat seni lukis yang tentunya mahu tidak mahu berusaha meningkatkan mutu karya masing-masing,” katanya.

Menurutnya, pelukis tidak wajar takut kepada persaingan terbuka seperti itu kerana penggemar dan pengumpul lukisan turut mempunyai kecenderungan dan citarasa yang berlainan.



Rakyat diminta teruskan amalan menderma

BERITA HARIAN, RABU, 7 JULAI 1999

LUAHAN RASA... Kadir merasmikan pameran 'Lukisan Untuk Kosovo', di Balai Berita, semalam. Kanan sekali ialah pelukis Ambon dan Tazidi (tengah).

KUALA LUMPUR, Selasa – Rakyat negara ini perlu bersyukur kerana dapat menjalani kehidupan sempurna, aman damai dan jauh daripada sebarang malapetaka, kata Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir.


Menurutnya, keadaan itu berbeza dengan penduduk di beberapa negara asing yang terpaksa menjadi pelarian perang atau mangsa kebuluran akibat kekurangan bekalan makanan.


Sehubungan itu, beliau mahu rakyat negara ini meneruskan amalan menyumbang kepada mana-mana tabung yang diadakan bagi membantu penduduk dunia yang ditimpa malapetaka, walaupun ketika kegawatan ekonomi.

"Kita di Malaysia tidak ada kebuluran atau peperangan. Oleh itu kita perlu bersyukur dengan menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan," katanya ketika melancarkan pameran 'Lukisan Untuk Kosovo', di Balai Berita, di sini hari ini.

Sebagai tanda simbolik pelancaran pameran itu, Abdul Kadir memotong tali ikatan kanvas yang menutup lukisan berjudul ‘KIV, VIP, RIP’ sebelum menurunkan tandatangan ke atas lukisan berkenaan.

Hadir sama Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) yang juga Pengerusi Tabung Barisan Bertindak Kosovo (BBK), Datuk A Kadir Jasin; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Ahmad Rejal Arbee dan Ketua Pegawai Operasi NSTP, Faiz Ishak.

Selain itu, Pengarang Urusan Berita Sistem Televisyen Malaysia Bhd (TV3), Chamil Wariya; Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM), Abdullah Junid dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Saifuddin Abdullah, turut hadir.



Pameran berlangsung selama dua minggu di Balai Berita, Jalan Riong mulai hari ini dan dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Pameran bagi mengisi tabung BBK itu menghimpunkan 28 lukisan bertema kemanusiaan karya empat pelukis tanah air iaitu Tazidi Yusuf atau nama gelarannya Tazidi, Abdul Aziz Abdul Rashid (Akam), Hanafiah Ibrahim (Kerengge) dan Mohd Nordin Yusuf (Ambo).

Sebarang pertanyaan mengenainya boleh dikemukakan kepada Pegawai Komunikasi Korporat dan Promosi NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi melalui talian 03-2822323 sambungan 592.

Sentuhan Karim unik

Metro Ahad, Motivasi, Ahad, 19 JULAI 1998


GAYA TERSENDIRI... Karim bersama sebahagian karyanya yang dipamerkan di Hotel Concorde, Shah Alam. – Gambar SYAMSI SUHAIMI


Oleh RAHAYU MOHD SALLEH


PENGHASILAN lukisan di negara ini rata-rata diwarnai sentuhan yang menggabungkan pelbagai warna bagi menghasilkan karya realistik.

Namun, bagi pelukis tempatan, Karim Shahariman, 33, gabungan warna yang sedikit tetap menjadi pilihannya walaupun peminat lukisan di negara ini mungkin masih belum dapat menerima karya sedemikian, apa lagi kebanyakan karyanya berkonsepkan separuh abstrak.

Mendapat pendidikan seni lukis di luar negara, Karim tidak gentar membariskan dirinya dikalangan pelukis tanah air yang menghasilkan pelbagai karya yang berbeza daripadanya.

Menurutnya, pemilihan warna atau gaya melukisnya sedikit sebanyak dipengaruhi persekitaran, terutamanya karyanya yang kini dipamerkan di Hotel Concorde, Shah Alam, yang dihasilkan sejak 1989 hingga 1993 ketika masih menuntut di Paris, Perancis.

PROFIL

NAMA: Karim Shahariman
TARIKH LAHIR: 15 Disember 1965
TEMPAT LAHIR: Sydney, Australia
PENDIDIKAN: St John Institution, Kuala Lumpur
Sijil Seni, Seafort T A F E College, Sydney,
Ijazah Sarjana Muda Seni Halus, Parsons School of Design, Paris.
KERJAYA: Pensyarah Sambilan Kajian Senireka dan Senilukis, Institut Teknologi Mara (ITM), Shah Alam.


Yang nyata, Karim gemar mewarnakan kanvas hanya berdasarkan imej separuh sedar digabungkan dengan perasaan dalaman bagi menghasilkan karya secara spontan.

Setakat ini, Karim senang dengan pemilihan warna serta gaya melukisnya sebagai sebahagian daripada personalitinya walaupun diakui dia masih belum menemui gaya melukis yang cocok untuknya.

Bakat seni itu diwarisi daripada ayahnya, seorang arkitek tetapi Karim tetap mempunyai kreativiti tersendiri dengan penghasilan lukisan yang unik.

“Ini bukan kehendak saya tetapi kini, saya mungkin menukar penggunaan warna untuk disesuaikan dengan cita rasa peminat lukisan di negara ini yang sudah biasa disajikan dengan karya cantuman pelbagai warna.

Mengenai pameran solo pertamanya di Shah Alam itu, Karim berkata dia mengambil tempoh yang agak lama sebelum berani membabitkan diri dalam pameran solo sedemikian.

Malah, pada awalnya, dia kurang yakin mempertaruhkan 28 lukisan untuk dijadikan bahan pameran. Sebelum ini, dia hanya terbabit dalam beberapa pameran berkumpulan.

“Tetapi kawan-kawan yang datang melihat lukisan saya di rumah menggalakkan saya mengadakan pameran kerana merasakan hasil karya saya perlu diberi pendedahan berdasarkan ia jarang diperolehi di negara ini,” katanya.

Pameran yang berlangsung mulai 26 Jun itu akan berakhir kira-kira sebulan dengan hasil karya dijual di antara RM600 hingga RM5,000.

Friday, January 4, 2019

Intim dalam arus naturalisme

ISTERI dan anak-anaknya menjadi model bagi pelukis Zi Jian untuk siri lukisannya yang bertemakan Ibu dan Anak Perempuan.
PLOUGHING Spring merupakan salah satu lukisan yang diperagakan pada pameran seni lukis Zi Jian yang berjudul Kemanusiaan dan Kasih Sayang.
RASA kasih sayang dan tanggungjawab jelas terserlah bagi pasangan kakak dan adik ini dalam karyanya yang berjudul Eating.
ATAS: LIRIKAN manja gadis ini yang terakam dalam Quiet Brook menjadi salah satu tarikan karya Zi Jian.
KIRI: SENTUHAN seni Zi Jian cukup romantis bagi menggambarkan suasana kampung di negara China seperti karyanya ini yang berjudul Tortous Mountain Road.


Oleh AMIRUDDIN HARUN

BANYAK pameran lukisan kebelakangan ini memaparkan kerja-kerja seni daripada aliran abstrak, impressionisme, surealisme dan abstrak impressionis. Pameran Yusof Ghani, Jalaini Abu Hassan, Elias Mohd. dan Zulkifli Yusoff mengetengahkan aliran sebegini.

Maka, apabila pameran lukisan aliran naturalisme diadakan, peminat dan khalayak seni akan terpegun dengan keindahan objek yang dikisahkan. Pemaparan objek yang jelas dan warna yang berkeperibadian mutlak mendorong rasa kagum kepada pengkaryanya.

Rasa seni yang menusuk ini jelas dapat dirasai apabila mengunjungi pameran seni lukis karya pelukis China, Li Zi Jian. Pameran solonya yang bertemakan Kemanusiaan dan Kasih Sayang cukup untuk membuktikan kekuatan seni lukis naturalisme.

Diamati karya potretnya menerusi pelbagai siri seperti Negara Asal, Tibet, Ibu dan Anak Perempuan dan Yang Tiada Tempat Tinggal serta karya bersejarah iaitu lukisan Pembunuhan Beramai-ramai di Nan-jing, sentuhan seni Zi Jian jelas terserlah.

Karyanya memperlihatkan kesempurnaan naturalisme melampaui batasan kenegaraan dan kebudayaan. Melalui lukisan, lontaran ideanya diketengahkan dan mengundang kefahaman semua manusia.

Subjek yang disentuhinya seperti kasih sayang ibu dan anak, kakak dan adik dan keakraban dua generasi yang berbeza bukanlah sesuatu yang baru dalam naturalisme. Namun, lewat karya-karyanya terserlah keintiman sifat-sifat manusia dalam hubungan antara satu sama lain.

Ini dapat dikesani betapa eratnya dakapan ibu terdapat bayinya dalam Dream of Life, suapan penuh kasih sayang (Eating), nenek yang penuh tanggungjawab mendukung cucunya (Ploughing Spring) dan lirikan manja si gadis (Quiet Brook).

Kesemuanya ini melambangkan keprihatinan Zi Jian terhadap aspek kemanusiaan dan kasih sayang. Ketika modernisme mendominasi senario seni lukis, tradisi seni lukis potret seperti yang dihasilkan oleh Zi Jian memberikan pemahaman yang lebih jelas kepada penggemar seni lukis di seluruh dunia.

Gaya lukisannya seakan-akan meniru pekerjaan sebuah kamera. Dia merakam dengan tepat dan penuh jiwa terhadap subjek yang dipilih. Hasilnya satu lukisan yang bernyawa diperolehi.

Meskipun dia turut merakamkan kerenah orang Barat dikanvas lukisan, namun lukisannya yang memaparkan persekitaran di negara asalnya cukup mempesonakan. Agaknya pengalaman hidup ketika di sebuah bandar kecil Shaoyang, Wilayah Hunan, China memperkayakan ilham seninya.

Pengalaman ini diperolehi sejak kecil lagi apabila dia telah menjadi mangsa kepada dasar sosial dan ekonomi yang diamalkan oleh negaranya. Dia menyaksikan sendiri penderitaan dalam kehidupan keluarganya.

Bapanya sendiri dipenjarakan pada 1957 ketika dia berusia tiga tahun. Dalam usia remaja pula dia terpaksa bekerja sebagai pekerja biasa di sebuah kilang mekanikal.

Sehinggalah pada 1978, selepas pemulihan sistem pembelajaran tinggi di negara itu, dia memulakan pendidikan seni dalam bidang cat minyak di Akademi Seni Halus, Guangzhou. Empat tahun kemudian dia menamatkan pendidikannya dan menjadi pelukis profesional di Galeri Seni Changsha.

Sejak itu lukisannya mula diberi perhatian dan dipamerkan di Shanghai, Jepun, Jerman dan Kanada. Akhirnya pada 1988 dia berhijrah ke Los Angeles, Amerika Syarikat untuk melajutkan pelajaran dalam bidang seni lukis. Turut sama ialah isterinya yang juga merupakan seorang pemuisi, Dan Hui.

Dengan bertemakan Kemanusiaan dan Kasih Sayang dia memulakan pameran antarabangsanya pada 1994 di Pusat Pameran Kebudayaan Dunia, Berlin, Jerman. Ini diikuti dengan pameran yang sama di Perancis, London dan negara-negara Eropah yang lain.

Tahun berikutnya, dia memulakan kembara pamerannya sekeliling dunia dengan Taiwan menjadi negara pertama yang disinggahinya. Pameran ini dijangka diteruskan sehingga tahun hadapan.

Pamerannya di Malaysia diadakan sehingga 10 Jun lalu di Galeri Petronas, Bangunan Dayabumi, Kuala Lumpur. Selepas ini pamerannya akan diteruskan di Singapura, Thailand, Australia, Afrika Selatan, Brazil, Argentina, New York dan Kanada.