iklan

Monday, February 18, 2019

Bakat Besar Mariana

5 MEI 1996

MARIANA... pernah berulang-alik dari Bentong ke Kuala Lumpur selama dua tahun untuk menimba ilmu. - Gambar YAHAYA HASHIM

Oleh NOOR SHAM SALEH

KEJAYAAN yang dicapai oleh pelukis muda, Mariana Saleh, 21, bukan datang bergolek.

Sebelum menceburi secara serius tiga tahun lalu, keluarganya menentang kerana menganggap bidang itu tidak menjanjikan masa depan yang cemerlang.

Kerana minat Mariana sanggup berulang alik dari tempat kelahirannya, Bentong, Pahang ke Kuala Lumpur setiap hari selama dua tahun untuk menimba ilmu dengan pelukis, Raja Azhar Idris.

Hasil usahanya itu berbaloi apabila lukisan pertamanya yang bermotifkan naive painting atau lukisan kanak-kanak dibeli seorang tokoh korporat dengan harga lebih RM1,000.

Sejak itu dia terus gigih belajar dan meneroka pelbagai bidang naive painting dengan menggabungkan beberapa teknik lain antaranya kertas dan juga kolaj.

Kini lukisannya bernilai ribuan ringgit dan Mariana menganggapnya pendorong untuk terus aktif dalam bidang ini.

Keluarganya juga mula memahami minat dan bakat yang ada dalam diri Mariana dan mula merestui bidang yang diceburi anak mereka.

Mariana juga beruntung kerana gurunya, Raja Azhar tidak pernah lokek ilmu dan selalu memberi tunjuk ajar kepadanya di samping didikan yang diberi oleh pelukis, Khalil Ibrahim.

“Tidak ramai pelukis tanah air yang terbabit secara serius dalam naive painting, sebab itu saya mahu membuktikan lukisan ini boleh diketengahkan,” katanya.

Di Art Case Gallery, Mariana bukan sahaja belajar melukis tetapi dalam masa yang sama membantu Raja Azhar menguruskan galerinya itu.

“Saya di galeri antara jam 11 pagi hingga 8 malam dan selepas itu mula melukis hingga jam 10 malam,” katanya yang berpindah ke Kuala Lumpur setahun lalu.

Mariana juga bercita-cita untuk mengadakan pameran solonya kerana sebelum ini dia banyak terbabit dengan pameran lukisan bersama antaranya di Bank Negara.

No comments:

Post a Comment