iklan

Tuesday, February 12, 2019

Pembangunan seni harus diisi budaya berfikir

MENTERI Besar Johor, Muhyiddin Yassin menurunkan tandatangan di monumen Sanggar Budaya di Johor Bahru petang semalam. Turut menyaksikan ialah Pengerusi Eksekutif Festival Filem Malaysia 11, Kamarul Ariffin.

JOHOR BAHRU 17 Jun - Pembangunan kesenian bukanlah sekadar menghidangkan sorak sorai budaya tetapi harus diisi oleh suatu dimensi budaya fikir, kata Menteri Besar Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, ia juga harus mampu memupuk keperibadian bangsa melalui kreativiti yang memancarkan etika, estetika, falsafah dan intelektual bangsa.

Beliau berkata, kesenian harus bermutu tinggi, berakhlak, berjiwa besar dan merupakan wadah penting pembinaan jiwa manusia.

"Di dalamnya mesti tersemat segala keanehan, kesempurnaan dan nilai-nilai wajah kehidupan bangsa yang diurus secara cemerlang dan profesional," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan merasmikan Sanggar Budaya sempena Festival Filem Malaysia ke-11 (FFM 11) di Dewan Jubli Intan sini hari ini.

Muhyiddin berkata, kesenian yang bermutu tinggi hanya boleh lahir melalui proses kajian, pengembangan eksperimentasi dan kreativiti di samping adanya sokongan moral.

Katanya, pemeliharaan warisan yang bersifat etnik atau rakyat dan dorongan terhadap warisan kebudayaan teras mesti diberi keutamaan kerana disitulah letaknya sumber identiti.

Menteri Besar menambah, segala bidang kesenian sama ada yang bersifat seni persembahan dan seni tampak serta pelbagai lagi cabang seni perlu terus dimajukan.

“Hanya yang diperlu diberi perhatian ialah apabila nilai-nilai ekonomi diberikan kepada kesenian, hendaknya ia tidak sampai menjejaskan kewibawaan kesenian itu sendiri,” jelasnya.

Malaysia juga kata Muhyiddin, perlu mempunyai simbol-simbol negara yang menunjukkan ketinggian budaya negara ini.

Beliau juga berharap Sanggar Budaya akan dapat dimanfaatkan oleh masyarakat, bukan sahaja penggerak atau penggiat seni budaya di negeri ini tetapi juga seluruh negara.

“Dengan wujudnya Sanggar Budaya ini nanti ia akan dapat membantu aktivis seni menambah ilmu pengetahuan di bidang kesenian yang dipelopori oleh Taman Seni Budaya untuk tontonan masyarakat,” ujarnya.

Muhyiddin menjelaskan pembangunan kesenian selama ini agak terbiar kerana kurangnya tunjangan dana dan perhatian yang kurang memuaskan.

No comments:

Post a Comment