iklan

Monday, February 18, 2019

Karya Fadli bawa mesej penting

UNIK... Mohd Fadli merenung lukisannya, Penyambung Generasi di pameran Pelukis Muda baru-baru ini.
PEMANDANGAN dasar laut yang kebiruan dengan pelbagai aneka kehidupan - batu karang dan ikan berwarna-warni yang bebas berenang - lazim menjadi tema pilihan pelukis.

Gabungan laut dan kehidupannya selalu dilukiskan kerana ia memaparkan keadaan tenang, harmonis dan mendamaikan jiwa.

Bagi pelukis muda, Mohd Fadli Yusoff, 22, minatnya melukis pemandangan dasar laut selain memuji keindahan anugerah Tuhan, juga menampilkan mesej penting bahawa keindahan laut dan pelbagai hidupannya bakal musnah jika tidak dijaga oleh generasi masa kini.

Keprihatinannya dipancarkan menerusi lukisan bertajuk Penyambung Generasi, yang menggambarkan seekor penyu karah yang makin pupus sedang berenang. Lukisan itu terpilih untuk menghiasi Pameran Lukisan Pelukis Muda 1996 di Bank Negara, baru-baru ini.

“Pelukis juga bertanggungjawab membangkitkan kesedaran masyarakat mengenai apa yang berlaku di sekitarnya, bukan sekadar melukis keindahannya saja.

“Laut yang memang dekat dengan kehidupan kita sedang mengalami pencemaran sehingga kehidupan seperti penyu hampir pupus.

“Ini perlu diutarakan supaya sikap bertanggungjawab dipikul bersama,” katanya.

Anak sulung kelahiran Kelantan ini kini menduduki tahun akhir Kursus Seni Halus Kajian Seni Lukis dan Seni Reka, Institut Teknologi Mara.

Untuk menyiapkan lukisannya, Fadli mengambil masa kira-kira lima minggu. Lukisannya dijual pada harga RM1,800.

Menurutnya, dia terpaksa membahagikan masa menyiapkan lukisan itu dan tugasan kuliah sebagai persiapan menjelang pertunjukkan diplomanya, Jun ini.

Lukisannya adalah di antara 115 karya pelukis muda daripada institusi pendidikan seni, termasuk ITM, Central Academy of Art dan Kolej Bandar Utama.

Pameran lukisan bertemakan ‘Dunia Air’ anjuran Bank Negara, diadakan selama lima hari, mulai 18 Mac lalu. - Nurul Adlina Kamaludin.

No comments:

Post a Comment