iklan

Tuesday, January 1, 2019

Gandingan seni dua generasi

PELBAGAI... satu sudut Galeri Pelita Hati yang menempatkan
lukisan cat minyak dan arca.
HIMPUNAN karya yang dihasilkan daripada sentuhan pelukis ternama, diselang-seli dengan karya pelukis muda sering menjadi penyeri galeri seni, mahupun setiap pameran lukisan yang diadakan.


Hal ini tidak terkecuali bagi Pelita Hati Gallery of Art yang menyedari bahawa gabungan dua generasi itu amat perlu dalam meneruskan kesinambungan seni berkenaan.

Banglo lama di Nombor 3, Persiaran Titiwangsa, Kuala Lumpur, yang diubahsuai menjadi galeri seni itu menjadi tumpuan peminat seni lukis, terutama lukisan kontemporari tanah air.

Dengan mempamerkan lukisan cat minyak, arca dan ukiran, galeri berkenaan berusaha menarik pelbagai golongan untuk mendekati karya itu. Karya berkenaan dijual dengan harga di antara RM50 hingga RM25,000.

“Harga karya seni bergantung kepada banyak faktor, termasuk siapa yang berkarya, saiz dan kerumitan menghasilkan karya itu,” kata Pengarah Pelita Hati Gallery of Art, Tengku Eli Aziddin.

Antara pelukis ternama yang turut menempatkan karya dalam galeri berkenaan, termasuk Sharifah Fatimah Zubir dengan karyanya, Mindscape, dijual dengan harga RM17,000.

Ismail Latif pula dengan karyanya Lembah Seribu Malam, Gunung Awan Kayangan dan Puncak Buluh Perindu... Biru Sayang Kumbang, masing-masing dijual dengan harga RM2,800.

Ahmad Puad Omar dengan Nightmare Series berharga RM3,500. Keris Dua Pasang dan Keris Anak Ayam karya Din Omar masing-masing bernilai RM3,000. Chuah Chong Yoh dengan siri Renungan Gunung Inas berharga RM3,200.

Karyawan lain yang turut mempamerkan hasil seni mereka disitu untuk dijual ialah Hoe Say Yong, Ismail Mat Hussein, Johan Marjunid, Zheng Yuande dan Awang Damit Ahmad. Karya pelukis luar juga turut dipamerkan untuk jualan.

Sejak dibuka pada Julai 1995, Pelita Hati sudah menganjurkan tiga pameran terbesar artis tempatan. Kini, ia merancang pelbagai pameran untuk dijayakan pada 1996 seperti pameran solo Raja Shahriman Aziddin; pelukis Sarawak, Kelvin Chap dan Suzy Wong dari Singapura.

Monday, December 31, 2018

Timur jadi pusat seni

MOHD ALI
... paling ke Timur
SERIUS... sebahagian peserta forum sempena
pameran di Galeri Petronas, baru-baru ini.
Oleh Jamudin Idris

PANDANGAN dunia kepada rantau sebelah timur tidak saja terbatas kepada bidang industri tetapi juga kesenian. Timur kini dikatakan pusat segala-galanya dan dianggap menjadi inspirasi dalam penghasilan karya kreatif, khususnya bidang seni lukis.

Lantas itu, ada yang berpendapat, anjakan paradigma dalam bidang seni sudah beralih ke sebelah timur. Sebenarnya banyak sebab yang menjadi punca rantau sebelah Timur kini menjadi gedung kesenian, salah satunya kerana sejumlah lukisan ternama sudah tersimpan di Jepun.

Kesanggupan jutawan Jepun menghabiskan wang berjuta ringgit semata-mata untuk memiliki lukisan pelukis ternama Barat adalah di luar dugaan. Apakah tindakan Jepun itu betul atau tidak adalah persoalan lain. Tetapi yang nyata dengan memindahkan lukisan ke Timur, sudah tentu Jepun akan menjadi tumpuan peminat seni dari seluruh dunia untuk melihat karya agung.

Pensyarah Kanan dan Ahli Sejarah Seni dari Jabatan Liberal Institut Teknologi Mara (ITM), Mohd Ali Abdul Rahman berkata, melalui tindakan itu, orang ramai yang ingin melihat lukisan antik yang dihasilkan pelukis terkenal dunia tidak lagi perlu ke Barat tetapi memadai ke Jepun saja.

Ketika bercakap dalam forum yang dikelolakan bersempena pameran seni bertajuk Milik Kendiri - Tradisi dan Perubahan oleh kakitangan akademik dan pelajar dari Jabatan Seni Lukis dan Seni Reka, ITM Shah Alam, di Galeri Petronas, Sabtu lalu, beliau berkata langkah Jepun itu menjadi salah satu sebab Timur menjadi ‘kiblat’ dalam bidang kesenian.

Satu hal lagi, banyak karya yang menjadi keagungan dunia turut mengambil ilham dari sebelah Timur atau Afrika. Objek dari negara berkenaan menjadi ilham dan diterjemahkan dalam karya dan bukannya bangunan tinggi pencakar langit.

Mohd Ali berkata, disebabkan Barat sendiri nampaknya sudah berpaling ke Timur, adalah tidak praktikal pelukis negara ini masih mengagungkan atau berkiblat ke Barat.

Sepatutnya pelukis negara ini yang berkesempatan mendalami ilmu di luar negara menghasilkan karya seni yang bermotifkan tempatan kerana ia bukan saja menarik perhatian Barat, tetapi untuk membuktikan kita masih kaya dengan tradisi.

Jika sesetengah orang kulit hitam di Amerika Syarikat masih mengagungkan datuk nenek mereka melalui Kunta Kinte, kita juga sepatutnya tidak melupakan sejarah dan bangsa dengan kesenian tradisi.

Dekan Kajian Seni Lukis dan Seni Reka, Dr Muhamad Tamyez Bajuri pula berkata, penghayatan seseorang pada seni adalah berbeza dan kerana itu sesetengah galeri membuat peraturan sendiri.

Sebagai contoh ada galeri ternama membuat jarak untuk seseorang melihat sesebuah lukisan dengan cara itu penghayatan dikatakan lebih terkesan.

Bagaimanapun bagi hasil seni yang baik, ada semacam ketidakpuashatian jika seseorang tidak dapat menyentuh atau melihat dengan lebih dekat.

Sementara itu, sambutan orang ramai begitu baik sekali bagi pameran Milik Kendiri yang kali kelima diadakan dan berakhir Selasa lalu.

Pameran itu menonjolkan karya bertenaga serta dinamik yang dipamerkan adalah hasil daripada sifat naluri dan gerak kemurnian hati yang terdapat pada pelukis dan pereka.

Pembabitan pelukis dan pereka ini juga adalah kakitangan Kajian Seni Lukis dan Seni Reka ITM, di dalam pameran kali ini banyak mempersoalkan perubahan dan penerokaan dalam aspek kehidupan yang membincangkan persoalan kewujudan manusia, masalah persekitaran, etnik dan jati diri.

BSLN rancang 17 pameran


BALAI Seni Lukis Negara (BSLN) dan Pusat Kreatifnya merancang mengadakan 17 pameran lagi tahun ini yang membabitkan pertubuhan dan orang perseorangan termasuk luar negara, bagi memberi peluang tokoh tertentu mempamerkan karya mereka.

Selepas pameran perseorangan tokoh seni lukis negara, Yeoh Jin Leng yang berakhir pada 28 Februari ini, pameran lukisan, etching dan fotograpi oleh Wols Jerman dengan bahannya dipinjamkan dari Institut Goethe pula diadakan.

Selepas itu BSLN akan mengadakan pameran Seni Arca Malaysia mulai 2 April hingga 8 Mei. Kuratornya ialah Dekan Kajian Seni Lukis dan Seni Reka, Institut Teknologi Mara (ITM), Dr Mohd Tamyez Bajuri dan diikuti pameran Fotografi Sebagai Seni yang akan diadakan dari Mei hingga Jun. Kuratornya ialah Ismail Hashim.

Pada pertengahan Jun hingga 17 Julai, kumpulan syarikat Philip Morris akan menganjurkan Pertandingan Melukis Asean dan diikuti pameran Kosmologi dan Seni.

Pada akhir Ogos hingga 27 September, pameran Festival Antarabangsa Seni Lukis Kuala Lumpur akan diadakan dan diikuti Pameran Kerjasama Seramik Malaysia–Norway.

Bagi memberi pendedahan kepada pelukis tempatan, pameran selama sebulan retrospektif Sir Edardo Paolozzi dari United Kingdom turut diadakan dan bahan pameran dipinjamkan dari British Council. Tirai kegiatan seni lukis BSLN berakhir dengan Pertandingan Pelukis Muda Kontemporari, dari 10 Disember hingga 10 Januari 1997.

Bagi Pusat Kreatif pula, selepas pameran perseorangan, Bayu Otomo berakhir 23 Januari lalu, mereka akan memberi ruang kepada pelajar ITM mengadakan pameran mulai 20 Februari hingga 11 Mac.

Selepas itu, Tang Mun Kit dari Singapura akan mengadakan pameran solo dan diikuti ahli fotografi, Eric Peris akan mengadakan pameran mulai 8 hingga 20 April.

Pada April pula diadakan pameran fotografi Swiss Hightlight dan bahannya dipinjamkan dari Kedutaan Switzerland, diikuti pameran kumpulan kerja mencetak dan persembahan seni.

Selepas itu sekumpulan pelajar akan mengadakan persembahan dan penutup pameran solo dari pelukis dari Indonesia, Sonyuwono.

Yeoh Jin Leng 40 tahun berkarya

TERIMA KASIH... Yeoh (kanan) menghadiahkan Zain hasil karyanya
selepas merasmikan pameran di Balai Seni Lukis Negara, Jumaat lalu.

MENJENGUK pameran pelukis ternama negara Yeoh Jin Leng, teringat akan Seniman Negara, Syed Ahmad Jamal. Ada sinonim nama Yeoh dan Syed Ahmad - bukan setakat mereka sama-sama menuntut di Kolej Seni Chelsea, London, tetapi stail yang sama terbawa-bawa dalam lukisan mereka.


Lukisan kedua tokoh itu banyak yang terang. Walaupun warna lukisan mereka berbeza dari satu masa ke satu masa, dan bergantung kepada isu yang disentuh, tetapi pengalaman berkarya selama 40 tahun itu, jelas kelihatan empat peringkat dalam hasil seni Yeoh.

Tahap pertama karya Yeoh ialah sebelum beliau ke Chelsea, ketika menuntut di luar negara, sekembalinya dari luar negara dan terakhir pada zaman kemantapannya apabila banyak dipilih menjadi pentadbir, pengurus dan kurator kepada pelukis dan seniman muda.

Melihat kira-kira 400 lukisan dan hasil kerja seninya di pameran retrospektif yang bertajuk Yeoh Jin Leng: Seni dan Penghayatan, di Balai Seni Lukis Negara (BSLN) bermula 13 Januari hingga 28 Februari yang dirasmikan Tan Sri Zain Azraai, petang Jumaat lalu, jelas memperakukan ketokohan Yeoh, seorang seniman yang serba boleh.

Disebabkan Yeoh seniman besar negara, rakan yang menyaksikan pamerannya itu bukan saja datang dari sekitar Kuala Lumpur, tetapi dari Tokyo dan Singapura. Kira-kira separuh lukisan dan hasil kerja seninya masih dalam koleksinya.

Di awal pembabitan dan ketika menuntut Chelsea, Yeoh tidak terlepas daripada lukisan lucah, wanita bogel. Bagaimanapun bagi seniman terutama di luar negara, hal ini tidak dapat dikesampingkan kerana tubuh manusia dianggap satu objek atau figura yang tinggi hasil seninya.

Sekembalinya dari luar negara dan dalam mengenali semula alam semesta tanah air, beliau menemui istilah visual yang baru. Kaedah penggambarannya kelihatan jelas dan tepat. Dan dalam perjalanan panjang bermula dari Alor Star terhasillah catan lanskap, yang tersohor bernama Sawah Padi (1963), dianggap cukup bertenaga pada waktu itu.

Yeoh sendiri mengakui perlunya dinilai semula cara beliau meneliti alam semesta, berpandukan fahaman estetik yang dipelajarinya di Chelsea. Segalanya perlu disemak dan dinilai semula memandangkan wujudnya fenomena baru yang dilalui kini berbeza dari segi optik dan perasaan.

Sebagai pendidik, seniman ternama ini tidak dapat lari daripada aspek pengajarannya. Ada lukisannya menggunakan lambang yang bulat-bulat dan jelas melihat kemantapan dan inteleknya. Lambang mengenai Matematik dan Sains, mungkin membayangkan mata pelajaran itu juga patut ditekankan, selain tidak dikesampingkan pendidikan seni.

Sebagai senimnan yang suka berjalan, pengalaman yang dilalui sama ada di Sarawak, atau ketika meneroka hutan Belum di Perak dan penghasilan daripada kayu tropika turut diterjemahkan dalam hasil kerja seninya.

Disebabkan itu, adalah tidak salah jika Zain Azraai sendiri mengakui pameran yang diberikan kepada Yeoh Jin Leng agak terlewat, kerana sumbangan Yeoh dalam bidang seni negara begitu besar tetapi tokoh ini adalah seorang seniman sederhana yang tidak suka menonjolkan diri – JAMUDIN IDRIS

Pameran lukisan kaca di restoran

CANTIK... beberapa lukisan kaca karya Sulasno menghiasi dinding Kedai Kancil.

Catatan dari Jakarta Oleh Mahfar Ali


KEDAI Kancil di Wisma Summitmas, Jalan Jenderal Sudirman, Jakarta, dibuka seperti biasa pada bulan puasa ini. Tetapi baru-baru ini, saya ke sana kira-kira jam 1 tengah hari, bukan untuk makan, sebaliknya menyaksikan pameran lukisan kaca karya Sulasno yang berakhir 30 Januari lalu.

Kenyataan ini mungkin agak aneh, kerana jarang pameran lukisan diadakan di kedai makan atau restoran. Biasanya pameran seumpama itu dibuat di galeri, balai seni dan dewan kesenian atau paling tidak di hotel mewah dan pusat beli-belah terkemuka.

Tempat itu selalunya menjadi pilihan pelukis kerana ruangnya bukan saja luas, malah suasananya juga tenang dan mempunyai kelas. Apatah lagi pengunjung ke pameran lukisan biasanya dikaitkan dengan orang berduit kerana harga satu-satu lukisan itu bukannya murah.

Jadi, apakah istimewanya Kedai Kancil? Tidak ada yang istimewa dengan kedai yang terletak agak tersorok, berhampiran tempat letak kereta Wisma Summitmas.

Keadaan kedai itu seperti kebanyakan restoran sederhana lain di sekitar ibu kota ini – dipenuhi puluhan meja dan kerusi, serta suara kesibukan pekerjanya.

Tetamu di restoran itu hanya pekerja biasa atau orang ramai yang mempunyai urusan di wisma berkenaan, menempatkan pelbagai agensi swasta, termasuk bank.

Begitu juga dengan penyelenggaraan pameran itu. Tidak ada sentuhan artistik atau hiasan khusus. Lukisan itu cuma digantung di dinding kedai berkenaan bersama menu makanan serta pelbagai poster seminar, pertunjukan dan konsert.

Sayangnya, saya tidak berkesempatan menemui Sulasno untuk menanyakan sendiri mengapa pameran itu diadakan di kedai berkenaan, dan tidak di tempat yang lebih berprestij, sesuai dengan keunikan lukisan kaca karyanya.

Menurut seorang pelayan di kedai berkenaan, Sulasno jarang ke situ tetapi pengunjung yang berminat membeli lukisannya boleh berbuat demikian di kaunter.

Pelayan itu bertanya saya: “Mau pesan makanan apa Pak? Sop buntut, soto pun ada.”

Panorama inilah barangkali yang dikehendaki Sulasno - pelukis kaca dari Yogjakarta. Sambil menikmati sop buntut (ekor) atau soto, setidak-tidaknya tetamu di kedai makan itu, akan turut memalingkan muka ke dinding dan menghayati 25 karya lukisannya.

Apa yang menarik, seperti penyelenggaraan pameran itu yang serba ringkas, lukisan Sulasno yang bertemakan cerita rakyat, seperti legenda Ajisaka (terciptanya huruf Jawa), legenda Sekh Domba dan Sunan Bayat, Jaka Tarub, kisah Nabi Sulaiman, Pangeran Diponegoro dan Perahu Nabi Nuh.

Lukisan itu tidak perlu dilihat dengan pengertian khusus atau dengan bahasa artistik. Begitu juga dengan lukisan lainnya yang memotretkan jenis kesenian tradisional, seperti Tayub, Sintren, Majemukan, Angguk dan Jatilan, tidak sukar untuk dihayati.

Berbeza dengan seni lukis biasa, lukisan kaca meletakkan cat di bahagian belakang bidang kaca yang kita lihat. Teknik melukis seperti ini dikatakan agak sulit dan memerlukan kesabaran.

Mungkin inilah yang hendak disampaikan Sulasno menerusi pamerannya. Ketika ramai yang tidak bertahan lama dalam seni lukisan kaca ini, Sulasno terus sabar menggeluti bidang itu dan menjadikan pamerannya kesinambungan seni lukis kaca.

Yang pentingnya, menerusi pameran itu juga Sulasno sekurang-kurangnya berjaya mengubah anggapan kebanyakan orang yang sering mengaitkan lukisan dengan simbol kemewahan.

Melukis beri ketenangan jiwa

MENCARI KETENANGAN... melukis bagi Mahbob selain
dapat memberikan ketenangan ia juga boleh
membawa pelukis ke alam imaginasi
yang tersendiri.
INI HASILNYA... Mahbob bersama hasil lukisan potret
yang telah disiapkannya.

Oleh HASAN OMAR
Gambar: DZULKIFLI MUSTAPHA


SENI pada diri setiap insan adalah anugerah daripada Allah. Seni juga adalah sesuatu yang sukar untuk diterjemahkan melalui kata-kata dan apa yang mampu menggambarkan ketinggian nilai seni dalam jiwa seseorang adalah melalui karya yang dihasilkan.


Seni itulah yang sering dijanakan oleh seseorang itu melalui hobinya yang hadir pada waktu-waktu terluang. Melukis misalnya, adalah salah satu hobi yang diminati ramai, tetapi tidak mampu dihasilkan semua orang.


Ini kerana ia wujud daripada bakat semula jadi serta memerlukan pengetahuan aspek teknik yang mampu meninggikan lagi kualiti sesuatu hasil lukisan sama ada menggunakan cat minyak, air, krayon serta pensil.

Melukis ketika masa lapang juga mampu memberi ketenangan jiwa dan ia menjadi lebih bermakna lagi jika hasil lukisan itu mampu dikategorikan sebagai yang bermutu tinggi.

Bagi Mahbob Mohamad, 45, melukis potret menggunakan pastel, sejenis bahan pewarna yang diperbuat daripada sejenis galian, adalah hobinya sejak kecil lagi.

Beliau yang mempunyai bakat semula jadi dalam bidang berkenaan mula melukis secara aktif pada sekitar 1970-an dan mendekatkan diri dengan pelukis profesional iaitu Amiruddin Ariffin bagi mempelajari beberapa kaedah untuk meningkatkan lagi mutu lukisannya.

“Kaedah yang saya pelajari itu digunakan dalam usaha menghasilkan lukisan seperti potret untuk nampak lebih hidup dengan warnanya yang lebih timbul,” katanya.

Mahbob yang bertugas sebagai pemuzik dalam Orkestra Simfoni Kebangsaan di Panggung Negara berkata, lukisan terbahagi kepada lukisan potret, pemandangan serta abstrak. Sebagai aspek asas dalam bidang itu, seseorang pelukis perlu bijak menggunakan adunan warna.

Contohnya, untuk melukis potret, kesenian dan pengetahuan mewarna sama ada menggunakan pensil, krayon atau cat minyak amat penting bagi menghidupkan sesuatu potret, di samping melahirkan lukisan yang bermutu tinggi.

Katanya, beliau lebih gemar melukis potret dengan menggunakan pastel yang kadar ketebalan serta kenipisan warnanya mampu dikawal berdasarkan kaedah campuran pelbagai warna bagi membentuk satu warna pada kertas lukisan itu.

Berbanding lukisan yang menggunakan warna air atau cat minyak, pengawalan warna agak sukar. Oleh itu, campurannya harus dilakukan di atas piring warna terlebih dulu sebelum diletakkan pada kertas.

“Untuk melukis, saya tidak perlu melakarkan raut wajah seseorang dengan pensil terlebih dulu, sebaliknya saya terus melukis wajahnya dengan menggunakan pastel.

“Ini kemudiannya diikuti dengan melukis bahagian lain seperti rambut, baju serta latar belakang,” katanya.

Jika Mahbob menumpukan sepenuh perhatiannya, beliau mampu menyiapkan lukisan itu dalam tempoh lima jam. Pada waktu itulah, sambil tangannya menggarap serta bermain dengan warna, hobi itu turut meberi ketenangan jiwa kepadanya.

“Ia seolah-olah membawa saya ke alam lain yang tidak diterokai insan lain. Imaginasi kita juga lebih ketara untuk menyiapkan sesuatu lukisan itu, daya imaginasi yang kuat adalah faktor utama,” katanya.

Menurutnya, kos yang dikeluarkannya bagi melukis potret menggunakan pastel tidaklah terlalu tinggi dan beliau hanya mengeluarkan RM160 untuk membeli sekotak pastel yang mengandungi 60 batang pastel.

Setakat ini, katanya, sejumlah 40 lukisan potret, termasuk satu lukisan wajah bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Elyas Omar.

Bagaimanapun, bagi Mahbob yang pasti kegiatan masa lapangnya itu juga dapat memberi pendapatan sampingan kepadanya kerana ada yang dijual pada harga RM300 hingga RM350 satu.

Menurutnya yang menggunakan nama pena H Mahbob Mohd pada lukisan yang dihasilkan, beliau akan terus melakukan hobinya itu kerana ia tidak pernah mendatangkan jemu sebaliknya memberi ketenangan jiwa yang tersendiri.

Wednesday, December 26, 2018

Tubuh wanita beri ilham

29 APRIL 1995

Prabha Kaur Bajaj, Pelukis dari India akui;

Keluarga turut hadir di hari perasmian Inner Treasure

WANITA ini tidak mempunyai pendidikan formal mengenai seni lukisan yang diceburinya. Namun dia banyak mendalami seni dan pengalaman merantau ke luar negara dan juga menerusi pergaulan dengan pelbagai golongan masyarakat.


'Jauh berjalan luas pemandangan.' Itulah pepatah lama yang dipegang oleh Prabha Kaur Bajaj, 32, seorang suri rumah sepenuh masa yang kini aktif melukis.

Beliau adalah anak kelahiran India namun kini menetap di Singapura kerana suaminya adalah warganegara Singapura. Sebelum ke Singapura, Prabha juga pernah ke Dubai malah Prabha pernah bekerja dengan artis seni di Jepun.

Bagi Prabha seni melukis ini adalah satu cara merehatkan mental. Dia akan melukis apabila dia rasa perlu baginya untuk melukis. Masa pilihannya adalah ketika larut malam atau pun awal pagi kerana pada waktu-waktu begini ketenangan diri diperolehi.

Sewaktu ditemui di pameran 'Inner Treasure' Balai Seni Maybank baru-baru ini, Prabha ditemani oleh keluarganya.

Dalam pameran itu, Prabha mempamerkan 18 koleksi lukisannya. Dan berlainan daripada pelukis lain yang membuat pameran di situ, Prabha lebih suka melukis bentuk tubuh wanita atau pun 'figure' berbanding pemandangan.

Menurut Prabha, pergerakan dan hayunan badan dan lenggok wanita mempunyai seni tersendiri. Dan biasanya Prabha memilih wanita India dan Melayu kampung.

"Jika bertemu dengan wanita-wanita ini dan merasakan ada keunikan pada wanita tersebut, saya akan menemui dan minta izin mereka untuk dipotret. Melalui gambar tersebutlah saya jadikan model lukisan," ujarnya.

Bagi Prabha, seni adalah sesuatu yang unik, semua manusia yang berada di sekelilingnya mempunyai nilai seni tersendiri.

Sebagai isteri, dan ibu kepada tiga orang anak, Prabha mendapat sepenuh dorongan daripada keluarga. Malahan anak perempuannya yang berusia 8 tahun mula mewarisi bakat melukisnya.

Dalam pameran yang diadakan sehingga 29 April ini, empat pelukis wanita lain turut serta mempamerkan lukisan mereka.

Melukis adalah salah satu cara merehatkan fikiran.