iklan

Monday, February 18, 2019

Karya Fadli bawa mesej penting

UNIK... Mohd Fadli merenung lukisannya, Penyambung Generasi di pameran Pelukis Muda baru-baru ini.
PEMANDANGAN dasar laut yang kebiruan dengan pelbagai aneka kehidupan - batu karang dan ikan berwarna-warni yang bebas berenang - lazim menjadi tema pilihan pelukis.

Gabungan laut dan kehidupannya selalu dilukiskan kerana ia memaparkan keadaan tenang, harmonis dan mendamaikan jiwa.

Bagi pelukis muda, Mohd Fadli Yusoff, 22, minatnya melukis pemandangan dasar laut selain memuji keindahan anugerah Tuhan, juga menampilkan mesej penting bahawa keindahan laut dan pelbagai hidupannya bakal musnah jika tidak dijaga oleh generasi masa kini.

Keprihatinannya dipancarkan menerusi lukisan bertajuk Penyambung Generasi, yang menggambarkan seekor penyu karah yang makin pupus sedang berenang. Lukisan itu terpilih untuk menghiasi Pameran Lukisan Pelukis Muda 1996 di Bank Negara, baru-baru ini.

“Pelukis juga bertanggungjawab membangkitkan kesedaran masyarakat mengenai apa yang berlaku di sekitarnya, bukan sekadar melukis keindahannya saja.

“Laut yang memang dekat dengan kehidupan kita sedang mengalami pencemaran sehingga kehidupan seperti penyu hampir pupus.

“Ini perlu diutarakan supaya sikap bertanggungjawab dipikul bersama,” katanya.

Anak sulung kelahiran Kelantan ini kini menduduki tahun akhir Kursus Seni Halus Kajian Seni Lukis dan Seni Reka, Institut Teknologi Mara.

Untuk menyiapkan lukisannya, Fadli mengambil masa kira-kira lima minggu. Lukisannya dijual pada harga RM1,800.

Menurutnya, dia terpaksa membahagikan masa menyiapkan lukisan itu dan tugasan kuliah sebagai persiapan menjelang pertunjukkan diplomanya, Jun ini.

Lukisannya adalah di antara 115 karya pelukis muda daripada institusi pendidikan seni, termasuk ITM, Central Academy of Art dan Kolej Bandar Utama.

Pameran lukisan bertemakan ‘Dunia Air’ anjuran Bank Negara, diadakan selama lima hari, mulai 18 Mac lalu. - Nurul Adlina Kamaludin.

Bakat Besar Mariana

5 MEI 1996

MARIANA... pernah berulang-alik dari Bentong ke Kuala Lumpur selama dua tahun untuk menimba ilmu. - Gambar YAHAYA HASHIM

Oleh NOOR SHAM SALEH

KEJAYAAN yang dicapai oleh pelukis muda, Mariana Saleh, 21, bukan datang bergolek.

Sebelum menceburi secara serius tiga tahun lalu, keluarganya menentang kerana menganggap bidang itu tidak menjanjikan masa depan yang cemerlang.

Kerana minat Mariana sanggup berulang alik dari tempat kelahirannya, Bentong, Pahang ke Kuala Lumpur setiap hari selama dua tahun untuk menimba ilmu dengan pelukis, Raja Azhar Idris.

Hasil usahanya itu berbaloi apabila lukisan pertamanya yang bermotifkan naive painting atau lukisan kanak-kanak dibeli seorang tokoh korporat dengan harga lebih RM1,000.

Sejak itu dia terus gigih belajar dan meneroka pelbagai bidang naive painting dengan menggabungkan beberapa teknik lain antaranya kertas dan juga kolaj.

Kini lukisannya bernilai ribuan ringgit dan Mariana menganggapnya pendorong untuk terus aktif dalam bidang ini.

Keluarganya juga mula memahami minat dan bakat yang ada dalam diri Mariana dan mula merestui bidang yang diceburi anak mereka.

Mariana juga beruntung kerana gurunya, Raja Azhar tidak pernah lokek ilmu dan selalu memberi tunjuk ajar kepadanya di samping didikan yang diberi oleh pelukis, Khalil Ibrahim.

“Tidak ramai pelukis tanah air yang terbabit secara serius dalam naive painting, sebab itu saya mahu membuktikan lukisan ini boleh diketengahkan,” katanya.

Di Art Case Gallery, Mariana bukan sahaja belajar melukis tetapi dalam masa yang sama membantu Raja Azhar menguruskan galerinya itu.

“Saya di galeri antara jam 11 pagi hingga 8 malam dan selepas itu mula melukis hingga jam 10 malam,” katanya yang berpindah ke Kuala Lumpur setahun lalu.

Mariana juga bercita-cita untuk mengadakan pameran solonya kerana sebelum ini dia banyak terbabit dengan pameran lukisan bersama antaranya di Bank Negara.

Tuesday, February 12, 2019

Warisan Dari Sarawak II

LAKARAN... lukisan yang diilhamkan oleh Sylvester Jussem.

BUKAN mudah mengekalkan warisan kerana kehidupan masyarakat sekarang lebih terdedah dengan kemudahan sains dan teknologi.

Namun, ia bukanlah satu alasan meluputkan setiap warisan bersejarah.

Atas kesedaran itu, Galeri Petronas di Kompleks Dayabumi, akan mengadakan pameran seni berjudul Warisan Dari Sarawak II, selama 20 hari mulai esok.

Pameran anjuran Malaysia LNG Sdn Bhd, Sarawak, sempena ulang tahun Petronas yang ke-20, akan mempamerkan lebih 100 karya, ciptaan 18 pencinta seni dari Sarawak sendiri.

Antaranya ialah Raphael Scott Ah Beng, Sylvester Jussem, Lucy Liew, Tan Wei Kheng. Mereka mengketengahkan pelbagai bahan menarik bagi menghasilkan karya unik seperti kulit kayu, batik, media campuran, minyak, pastel, cat air, akrilik dan berus Cina.

Pameran yang akan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Sosial, Sarawak, Datuk Adenan Satem, esok, turut mengadakan satu siri program pendidikan pada setiap Sabtu (tiga minggu berturut-turut) di galeri itu.

Program itu antaranya mengajak masyarakat mempelajari demonstrasi Lukisan Kulit Kayu oleh Ramsay Ong pada 24 September, ceramah Pua Kumbu oleh Edric Ong (1 Oktober) dan Manik dan Kebudayaan Manik oleh Margaret Tan (8 Oktober).

Kepada anda yang meminati seni atau ingin menilai warisan sendiri, jangan lupa untuk bersama menyerikan majlis yang julung-julung kali diadakan itu.

Koleksi karya Islam Nur Gallery

TETAMU TERHORMAT... Lawrence memberi penerangan mengenai lukisan yang dipamerkan kepada Dr Wan Azizah. - Gambar oleh Che Rani Che Din.

Oleh NURBAHAIWATI NEKMAT

LUKISAN dapat menggambarkan sejarah dan cara hidup sesebuah masyarakat di zaman lampau. Kadangkala kecintaan dan penghayatan individu terhadap sesebuah lukisan melangkau batasan kaum dan agama.

Itulah yang cuba dibuktikan oleh Lawrence Wisniewski, melalui pameran koleksi lukisan Islamnya yang bermula dari 23 Mac hingga 6 April di ruang legar, Hotel Regent, Kuala Lumpur.

Datin Seri Dr Wan Azizah, isteri Timbalan Perdana Menteri merasmikan pameran lukisan koleksi Nur Gallery itu, baru-baru ini.

Dalam ucapannya, Wan Azizah berkata, pameran sedemikian dapat memberi peluang kepada masyarakat Malaysia, khasnya peminat seni bina Islam mengenali lebih dekat lagi hasil karyawan lama.

“Pameran lukisan antik dan lama ini juga boleh membantu menarik perhatian masyarakat tempatan terhadap hasil tinggalan sejarah yang semakin lupus,” katanya.

Menurut Lawrence, pemilik Nur Gallery, walaupun bukan beragama Islam, beliau menghargai seni bina dan lukisan antik yang berkaitan dengan seni bina Islam.

“Kebanyakan lukisan antik yang dipamerkan di Nur Gallery dihasilkan oleh pelukis berbangsa Perancis, Jerman, Britain dan beberapa negara Islam lain,” katanya.

Nur Gallery adalah galeri Islam yang pertama menganjurkan Pameran Lukisan dan Seni Bina Islam dari kurun ke-18 dan 19 di sini.

Antara objek dan seni bina Islam yang menjadi tumpuan pelukis ialah Kaabah, Masjid Cordova, Masjid Madinah, kesan runtuhan Masjid Kaherah dan lain-lain.

Kehalusan dan ketulenan yang ditonjolkan dalam seni bina Islam sejak masa lampau menyebabkan ramai pelukis Eropah ingin mengabadikan keindahan itu dalam lukisan mereka.

Menurut Lawrence, kebanyakan lukisan yang dipamerkan adalah lukisan antik yang dikumpul dari sejak beberapa abad lalu.

Turut dipamerkan oleh Lawrence ialah karya lukisan yang dihasilkan semula. Lukisan sebegini mempunyai antara satu hingga tiga salinan saja. Kebanyakannya sesuai untuk ruang pejabat, rumah dan hotel. Lukisan yang dipamerkan di Nur Gallery itu boleh dibeli dengan harga antara RM495 hingga RM3,600. Lebih 50 lukisan dipamerkan dalam pameran yang berlangsung dua minggu itu.

“Lukisan asal dan antik yang dipamerkan di ruang legar ini adalah satu-satunya yang ada dan berharga di antara RM1,700 hingga RM3,600,” kata Lawrence.

“Keaslian dan kehalusan seni bina Islam patut diabadikan dan didedahkan kepada masyarakat masa kini yang semakin kurang prihatin mengenai tinggalan sejarah silam,” katanya kepada Berita Minggu.

Pembangunan seni harus diisi budaya berfikir

MENTERI Besar Johor, Muhyiddin Yassin menurunkan tandatangan di monumen Sanggar Budaya di Johor Bahru petang semalam. Turut menyaksikan ialah Pengerusi Eksekutif Festival Filem Malaysia 11, Kamarul Ariffin.

JOHOR BAHRU 17 Jun - Pembangunan kesenian bukanlah sekadar menghidangkan sorak sorai budaya tetapi harus diisi oleh suatu dimensi budaya fikir, kata Menteri Besar Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, ia juga harus mampu memupuk keperibadian bangsa melalui kreativiti yang memancarkan etika, estetika, falsafah dan intelektual bangsa.

Beliau berkata, kesenian harus bermutu tinggi, berakhlak, berjiwa besar dan merupakan wadah penting pembinaan jiwa manusia.

"Di dalamnya mesti tersemat segala keanehan, kesempurnaan dan nilai-nilai wajah kehidupan bangsa yang diurus secara cemerlang dan profesional," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan merasmikan Sanggar Budaya sempena Festival Filem Malaysia ke-11 (FFM 11) di Dewan Jubli Intan sini hari ini.

Muhyiddin berkata, kesenian yang bermutu tinggi hanya boleh lahir melalui proses kajian, pengembangan eksperimentasi dan kreativiti di samping adanya sokongan moral.

Katanya, pemeliharaan warisan yang bersifat etnik atau rakyat dan dorongan terhadap warisan kebudayaan teras mesti diberi keutamaan kerana disitulah letaknya sumber identiti.

Menteri Besar menambah, segala bidang kesenian sama ada yang bersifat seni persembahan dan seni tampak serta pelbagai lagi cabang seni perlu terus dimajukan.

“Hanya yang diperlu diberi perhatian ialah apabila nilai-nilai ekonomi diberikan kepada kesenian, hendaknya ia tidak sampai menjejaskan kewibawaan kesenian itu sendiri,” jelasnya.

Malaysia juga kata Muhyiddin, perlu mempunyai simbol-simbol negara yang menunjukkan ketinggian budaya negara ini.

Beliau juga berharap Sanggar Budaya akan dapat dimanfaatkan oleh masyarakat, bukan sahaja penggerak atau penggiat seni budaya di negeri ini tetapi juga seluruh negara.

“Dengan wujudnya Sanggar Budaya ini nanti ia akan dapat membantu aktivis seni menambah ilmu pengetahuan di bidang kesenian yang dipelopori oleh Taman Seni Budaya untuk tontonan masyarakat,” ujarnya.

Muhyiddin menjelaskan pembangunan kesenian selama ini agak terbiar kerana kurangnya tunjangan dana dan perhatian yang kurang memuaskan.

Thursday, January 10, 2019

APS buka gelanggang berkarya



Personaliti Rakan Muda


Nama: Kamaruddin Talib
Umur: 35 tahun
Asal: Machang, Kelantan
Pekerjaan: Artis (lukisan potret/lanskap)
Kegiatan luar: Jurulatih di APS.
Hobi: Mengembara dan membaca



SENI selalunya berkait rapat dengan bakat.

Bagaimanapun, ia boleh dipelajari sama seperti ilmu pengetahuan dan kemahiran lain jika seseorang itu berminat, rajin, tekun dan berdisiplin.

Sejajar dengan hasrat kerajaan mahu membentuk masyarakat belia yang mantap, kreatif dan berinovatif, salah satu bidang yang mampu melaksanakan wawasan negara ini ialah seni lukis dan seni reka.

Angkatan Pelukis SeMalaysia (APS), sebuah badan yang turut menjayakan program Rakan Muda, kini menawarkan peluang kepada belia yang berminat mengambil bahagian dalam bidang seni.

Rakan Seni Budaya merancang 14 program tahun ini.

Mereka yang meminati seni lukis, seni tampak, seni foto, seni muzik dan seni teater boleh menyertai program ini.

Setiausaha Kerjanya, Ismail Othman, berkata belia yang berminat menyertai Rakan Seni Budaya boleh mendaftar di APS sekarang.

“Sejak APS membuka keahlian pada 28 Januari lalu, 80 belia sudah mendaftar untuk mengikuti lapan program utama yang dianjurkan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, setakat ini, APS hanya menumpukan kepada lapan program utama yang dijalankan di pusat itu iaitu seni lukis, seni tampak batik dan seramik moden, teater, senifoto (hitam/putih dan warna), muzik (vokal dan koir dan nyanyian).

Beliau berkata, APS akan memulakan kelas bagi lapan program berkenaan April ini.

Pusat seni lukisan, teater siap penghujung 1996

BERITA HARIAN, JUMAAT, 30 DISEMBER 1994

BANGGA... enam pelukis tempatan yang menyumbang kerja mereka untuk kalendar Lanskap Semulajadi Malaysia


KUALA LUMPUR, Khamis – Bidang seni dan teater tanah air maju setapak lagi berikutan pembinaan dua pusat kegiatan seni lukisan dan teater yang dijangka siap penghujung 1996.


Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Sabbaruddin Chik, berkata Galeri Seni Negara dan Panggung Negara itu akan dibina di satu kawasan di Jalan Tun Razak di sini.

Kedua-dua bangunan itu dijangka dirasmikan pada 1997 sempena genap 10 tahun kementerian ditubuhkan.

Menurutnya, kedua-dua projek itu yang dianggarkan berharga di antara RM40 juta dan RM50 juta akan pusat kegiatan karyawan kedua-dua cabang seni itu.

Beliau berkata, Galeri Seni Negara yang dijangka dapat disiapkan lebih awal, adalah empat kali ganda lebih besar daripada Balai Seni Lukis Negara.

“Kita sudah menyerahkan projek pembinaannya kepada sebuah syarikat swasta. Malah, kita juga bersetuju dengan cadangan bentuk bangunan galeri berkenaan yang akan mula dibina tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kalendar Rasmi Korporat Shell 1995 di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Eksekutif dan Pemangku Pengerusi Syarikat Shell Malaysia, Nizar Idris dan budayawan negara, Azah Aziz.

Seramai enam pelukis tempatan menyumbangkan hasil karya mereka di dalam kalendar itu yang bertemakan ‘Lanskap Semulajadi Malaysia’.

Di majlis itu Sabbaruddin menyerahkan koleksi lukisan goresan yang dimuatkan dalam kalendar itu kepada Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar untuk dipamerkan di pejabat wakil tetap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Sabbaruddin berkata, beliau yakin pembinaan kedua-dua pusat itu yang membabitkan kegiatan pementasan teater dan pameran lukisan tempatan serta antarabangsa, dapat membantu meningkatkan kegiatan seni itu.

“Ini kerana banyak kegiatan pementasan teater tanah air di sekitar ibu negara kini diadakan tanpa sebarang penyelarasan.

“Kegiatan seni itu dan pameran lukisan dapat diadakan dengan lebih tersusun apabila bangunan itu siap,” katanya.